Jumaat, 6 November 2015

SPRM nafi kebocoran maklumat ada kaitan siasatan ke atas SRC International

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menegaskan isu kebocoran maklumat tiada kaitan dengan siasatan suruhanjaya itu ke atas SRC International Bhd.
 
Isu kebocoran maklumat adalah perkara yang berbeza, kata Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki sambil menegaskan SPRM akan meneruskan siasatan ke atas syarikat itu walaupun terdapat siasatan khusus berkaitan isu kebocoran maklumat seperti dilaporkan sebelum ini.
 
"SPRM hanya bertindak mengikut lunas undang-undang yang  digubal Parlimen dan tidak mahu ada sebarang gangguan yang boleh melewat dan menjejaskan siasatannya.
 
"Sesungguhnya siasatan SPRM tidak boleh diganggu atau ditangguhkan atas alasan perlu menunggu sehingga siasatan yang berkaitan dengan kebocoran maklumat yang dilaporkan sebelum ini selesai terlebih dahulu," katanya merujuk kepada kenyataan media SRC International hari ini.
 
SRC International dalam kenyataan itu berkata: "Walaupun SRC menghormati SPRM, kami bimbang mengenai ketirisan atau kemungkinan penjualan maklumat sulit yang berlaku baru-baru ini kepada ahli-ahli media dan ahli politik yang tidak bertanggungjawab, mempunyai kepentingan sendiri".
 
SRC International juga meminta peguam negara memulakan siasatan bebas untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap kebocoran atau kemungkinan penjualan maklumat sulit, yang melibatkan ahli-ahli politik yang mempunyai agenda dan/atau pegawai tidak amanah.
 
"Selepas selesai penyiasatan oleh peguam negara, kami akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM atau mana-mana pihak berkuasa lain bagi sebarang pertanyaan," menurut kenyataan SRC International itu.
 
Azam berkata kenyataan SRC International berkaitan perkara itu sekiranya benar, ia seolah-olah pihak berkenaan tidak mahu SPRM menjalankan siasatan terhadapnya.
 
Katanya mana-mana pihak yang menghalang siasatan SPRM boleh diambil tindakan di bawah Akta SPRM 2009.
 
 

Tiada ulasan: