Khamis, 26 November 2015

MP: Hisap vape bantu saya berhenti merokok

Kow Gah Chie


 


Dalam rayuannya kepada Kementerian Kesihatan untuk menghentikan larangan kedai menjual vape, MP PKR Alor Setar Gooi Hsiao Leung memberitahu Dewan Rakyat bahawa rokok elektronik itu membantunya berhenti menghisap rokok.

"Saya seorang perokok lebih dari 20 tahun. Saya cuba pelbagai cara untuk berhenti merokok tetapi tidak berjaya... sehingga saya cuba menghisap vape tiga minggu lalu. Dalam tempoh tiga minggu, saya berhenti merokok dan hisap vape," kata Gooi.

"Berdasarkan kajian dan daripada pengalaman sendiri, saya percaya hisap vape boleh membantu perokok mengatasi sindrom ketagihan nikotin dalam tubuh mereka," katanya sewaktu berbahas Bajet 2016 semalam.

Mengenai perkara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata walaupun beliau bersetuju bahawa tindakan hisap vape perlu dikawal selia jika ia dapat membantu perokok untuk berhenti, beliau takut ia akan menarik lebih ramai penghisap vape baru, yang akhirnya akan ketagihan kepada nikotin.

Hujah Gooi bahawa menghisap vape boleh mendorong berhenti merokok telah digunakan sewaktu perdebatan panas di peringkat awal tersebar meluas mengenai isu vape di United Kingdom, kata Subramaniam.

Ia akan mengambil masa yang lama untuk menunggu kajian berkaitan kesan kesihatan vaping dimuktamadkan, katanya ketika menggulung perbahasan Kementerian Kesihatan.

Tiada ulasan: