Khamis, 9 Oktober 2014

Zunar menang kes lawan K’jaan Malaysia, buku kartun sah

Oleh Ermizi Muhamad


PUTRAJAYA : Mahkamah Rayuan hari ini menolak pengharaman buku kartun 1Funny Malaysia dan Perak Darul Kartun karya kartunis politik Zunar.

Dalam perbicaraan mahkamah di Kompleks Putrajaya itu, panel hakim Muhammad Ariff Yusof, Tengku Maimun Tn Mat dan Varghese Varughese sebulat suara berpendapat, buku kartun itu tidak mengandungi sebarang ancaman yang boleh menggugat keharmonian negara.

Zunar

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar yang diwakili peguam Edmund Bon, Amer Hamzah Arshad, Edward Saw, K Shanmuga, Aston Paiva dan Fahri Azza bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah kerana berada di Amerika Syarikat bagi menjayakan program jelajah Amerika menerusi filem pendek, “To Fight Through Cartoon”.

Menurut peguamnya, pengharaman terhadap karya tersebut tidak boleh diterima kerana bertentangan dengan hak dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami berpuas hati dengan keputusan ini, kerana pengisytiharan pengharaman ini tidak boleh diterima pakai dan tidak sah serta tidak boleh dikuatkuasa kerana ia bersifat ultra vires bagi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan bertentangan dengan hak yang dijamin dalam Artikel 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan,” jelas mereka.

Zunar

Buku 1Funny Malaysia adalah koleksi karya-karya pilihan kartun Zunar yang disiar di portal MalaysiaKini antara 2005 hingga 2009 manakala Perak Darul Kartun adalah buku terbitan syarikat yang dimiliki Zunar sendiri, Sepakat Efektif Sdn Bhd menampilkan karya-karya Zunar bersama beberapa kartunis dan penulis tempatan.

Sementara itu, Zunar dalam kenyataan menyifatkan kemenangan tersebut membuktikan karya milik beliau tidak menggugat ketenteraman awam yang mengundang kekacauan seperti yang dinyatakan kerajaan.

“Saya bersyukur dan berpuas hati atas keputusan ini. Ia memberi semangat baru kepada saya untuk meneruskan agenda “Berjuang Melalui Kartun”.

“Keputusan mahkamah membuktikan bahawa yang membahayakan ketenteraman awam bukan karya kartun, tetapi kerajaan yang takut kepada kartun,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati keputusan mahkamah secara menyeluruh dengan menghentikan sebarang bentuk tekanan dan ugutan terhadap karya miliknya.

“Saya dengan ini mendesak kerajaan menghormati keputusan mahkamah secara menyeluruh dengan menghentikan tekanan dan ugutan kepada kilang pencetak dan pekedai-pekedai yang menjual buku-buku kartun saya.

“Saya juga mendesak kerajaan, khususnya KDN memulangkan ratusan naskah buku-buku saya yang dirampas sejak beberapa tahun lalu,” tegas Zunar.

Tiada ulasan: