Selasa, 7 Oktober 2014

Tunggulah p'raya, amaran Mahathir kepada Najib

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan rasa kecewa beliau terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Menulis di blog beliau, Mahathir berkata, biarpun kerajaan menerima teguran beliau secara terbuka sebelum ini, namun sehingga kini belum ada apa-apa tindakan dibuat.

Beliau berkata, Najib mungkin hanya akan sedar tentang kebenaran teguran beliau itu apabila diuji pada pilihan raya.

"Dalam negara demokrasi ujian yang terbaik ialah apabila pilihanraya diadakan. Jikalau teguran tidak berasas, dan dasar serta pendekatan yang ditegur diteruskan juga, maka sudah tentu kemenangan yang besar akan diperolehi.

"Sebaliknya jika prestasi dalam pilihanraya menjadi lebih buruk maka besar kemungkinan teguran yang dibuat berasas," katanya.

Beliau turut memberi contoh, bagaimana di era Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri yang menyaksikan pernah menang besar dalam PRU 2004.

Namun pada PRU 2008, BN kehilangan lima buah negeri, satu wilayah dan kemerosotan yang besar di Dewan Rakyat.

"Sepatutnya pengganti (Najib) memperoleh kemenangan yang lebih baik. Tetapi tidak.

"Pencapaian Perdana Menteri Ke-6 lebih buruk lagi dalam PRU13 setelah memberi wang Kerajaan kepada berjuta rakyat, membelakangkan Dasar Ekonomi Baru, melayan orang yang tidak hargai layanan, meningkatkan hutang Kerajaan, mendengar nasihat konsultan luar dan lain-lain lagi," katanya.

Beliau turut memberi peringatan kepada Najib bahawa mereka yang tidak mengambil iktibar dari pengalaman dahulu yang meneruskan juga pendekatan lama akan didera dengan pencapaian yang sama atau lebih buruk dimasa hadapan.- HARAKHDAILY

Tiada ulasan: