Jumaat, 3 Oktober 2014

Tulisan hina, wanita muda DAP lapor SKMM

MALAYSIAKINI


 


Tiga ahli wanita muda DAP hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung tulisan yang disiarkan dalam laman web yang didakwa menjatuhkan imej mereka.

Calon DAP Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud, Young Syefura Othman dan Jamila Rahim bersama-sama Peguam Gobind Singh Deo dan MP Kulai Teo Nie Ching hadir ke SKMM di Shah Alam petang ini bagi tujuan itu.

Tulisan itu bertajuk "Melati, lebih baik jadi pelacur dari sertai DAP" disiarkan dalam sebuah laman web pro-Umno dan manakala satu lagi bertajuk "DAP dan politik onani" dalam Free Malaysia Today.

Gobind berkata tulisan itu memberi kesan terhadap ahli DAP dan percaya ia satu kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Laporan telah dibuat dan kenyataan ringkas telah diambil terhadap ketiga pengadu. Saya harap tindakan dapat diambil dengan segera," kata Gobind kepada pemberita.

MP Puchong itu menegaskan tulisan itu "biadab dan menjatuhkan imej orang" sekalipun partinya tiada masalah menerima kritikan sesiapa sahaja tetapi bukan dengan cara menghina.

"Boleh kritik tapi ada hadnya. Kalau (mereka) dihina dan dicerca sehingga macam ini, ini telah melampaui batasan yang kita boleh terima.”

"(Tulisan) ini jelasnya biadap dan mempunyai unsur yang menjatuhkan imej orang, memang menyalahi undang-undang,” katanya sambil menambah SKMM bersetuju akan mengambil tindakan lanjut.

'Saya tak pernah tukar agama'

Menurutnya, DAP berharap dapat menerima maklum balas daripada SKMM berhubung status penyiasatan laporan mereka minggu depan di samping akan memulakan kempen menentang tindakan menghina ketiga-tiga wanita muda itu.

Sementara itu, Teo pula mengajak ahli parlimen Pakatan Rakyat dan BN bersama-sama mengutuk tindakan mengeluarkan kenyataan berbaur seksis.

"Arena politik Malaysia kini memang kebanyakan kaum lelaki, jadi kita perlu (menggesa) semua ahli politik dari semua parti bersama-sama kutuk kenyataan seksis ini,” katanya

Sementara itu, Syefura dan Jamila pula mengutuk tindakan yang menghina mereka dan menggesa SKMM mengambil tindakan segera.

“Saya masuk DAP dan saya tak pernah menukar agama saya, saya masih Islam. Saya tekankan benda ini,” tegas Jamila yang lebih dikenali "Melati Rahim".

“Memang tindakan perlu diambil kerana dia panggil saya macam ini. Dia memalukan saya, keluarga saya dan orang kenalan saya,” katanya lagi.

Syefura pula mengutuk tindakan itu dianggap mahu menghentikan wanita daripada menyertai politik atau mana-mana parti.

“Kami melaksanakan hak kami untuk menyertai apa-apa parti yang sah di sisi undang-undang,” katanya.

Tiada ulasan: