Khamis, 2 Oktober 2014

Taraf hidup lebih baik cuma satu lawak jenaka

 
Umno dilihat lebih rela menyakiti mereka yang lemah dan tidak berkemampuan berbanding menyusahkan mereka yang kaya dan mempunyai hubungan dengan orang kenamaan.


najib-malaysian-flag


PETALING JAYA: Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat tidak mengambil kisah kebajikan rakyat Malaysia dan gagal dalam mengurus ekonomi negara, kata Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut Nik Nazmi, pentadbiran Najib tidak boleh terus menekankan bahawa mereka merupakan kerajaan yang ‘Mendahulukan Rakyat’ apabila mereka tanpa ragu-ragu boleh membebankan masyarakat yang paling lemah.

Dakwaan dibuat berikutan semalam kerajaan Persekutuan telah memutuskan untuk menandakan bulan Oktober ini dengan memberi rakyat Malaysia satu “hadiah” iaitu kenaikan harga minyak sebanyak 20 sen. Harga petrol RON95 meningkat kepada RM2.30 seliter dan diesel kepada RM2.20 seliter.

Tambah beliau, ini merupakan kesan sampingan terbaru akibat sikap kerajaan Persekutuan yang tidak mengambil kisah atas kebajikan rakyat Malaysia dan kegagalannya untuk mengurus ekonomi negara.

“Sesiapa pun tidak akan menafikan bahawa kewangan negara perlu disusun semula. Walhal, hakikatnya sangat menyedihkan kerana ramai rakyat Malaysia bergantung kepada harga minyak yang mampu dibeli, daripada pekerja di bandar yang perlu ke kerja kepada para nelayan yang perlu ke laut untuk mencari rezeki.

“Pengangkutan awam yang baik hanya sekadar angan-angan bagi rakyat Malaysia yang tinggal di bandar. Apatah lagi, implementasi GST yang akan datang bermakna harga minyak akan menjadi beban yang lebih berat kepada kebanyakan rakyat Malaysia terutamanya yang berpendapatan sederhana dan rendah,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Katanya, inilah bukti yang jelas bahawa kenyataan kerajaan Persekutuan yang menyatakan rakyat Malaysia sedang menikmati taraf hidup yang lebih baik adalah sekadar satu lawak jenaka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Temerloh dari PAS, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, dengan perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi petrol dan diesel, akan berlaku lebih banyak pemborosan dan pembaziran duit rakyat oleh kerajaan bermula tahun hadapan.

Beliau berkata, secara teori, dengan pendapatan yang lebih banyak kerajaan akan cenderung untuk berbelanja dengan jumlah yang lebih besar dalam keadaan sikap dan kualiti urus tadbir kerajaan yang ada pada hari ini yang boleh dipertikaikan.

“Sebanyak mana pun jumlah yang berjaya dipungut atau ‘dijimatkan’ dengan pelaksanaan GST dan rasionalisasi subsidi diesel dan petrol.

“Jika kerajaan tidak berintegriti dan tidak beramanah dalam menguruskannya, jumlah itu tidak bernilai lagi dan tidak mendatangkan apa-apa manfaat serta kebaikan kepada rakyat,” katanya menerusi laman Facebooknya.

Jelasnya lagi, pelaksanaan GST bermula April 2015 dikatakan akan menambah pendapatan negara sebanyak RM23 bilion.

“Pelbagai kebaikan telah dikemukakan oleh kerajaan kepada rakyat bagi menjelaskan tentang kebaikan GST, antaranya mendidik rakyat supaya tidak bergantung kepada kerajaan, mengawal kedudukan fiskal negara dengan lebih berkesan dan menambahkan pendapatan negara yang membolehkan kerajaan memberikan khidmat yang lebih baik kepada rakyat.

“Alasan yang diperlihatkan positif ini tidak lebih daripada untuk mengkaburi dan menutup mata rakyat dan menampakkan secara jelas sindrom penafian oleh kerajaan,” ujarnya.

Tiada ulasan: