Isnin, 6 Oktober 2014

Tak perlu politikkan, Pulau Pinang juga banjir waktu BN tadbir

Wong Hon Wai

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Pengerusi Barisan Nasional Pulau Pinang, Teng Chang Yeow diingatkan untuk tidak perlu mencipta isu kononnya pembangunan berlebihan di negeri tersebut sebagai punca banjir kilat.

Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam Wong Hon Wai berkata, banjir besar turut melanda kawasan Thean Teik, Air Itam pada tahun 1990-an, semasa Pulau Pinang di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

“Banjir besar berlaku pada masa itu ekoran pembangunan yang diluluskan oleh BN dan menyebabkan banjir besar setinggi lapan kaki. Banjir tersebut menyebabkan kerosakan harta benda kepada rumah dan sekolah sekelilingnya.

“Banjir begitu besar sehingga keranda terapung apabila satu keluarga yang sedang menguruskan upacara kematian tidak sempat lari apabila banjir melanda. Itu betul-betul banjir besar angkara pembangunan berlebihan Barisan Nasional,” kata Wong dalam kenyataannya hari ini.

Hujan yang turun berterusan semenjak jam 6 petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di George Town, Pulau Pinang dilanda banjir kilat dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

Antara kawasan yang terbabit ialah Jalan Transfer, Jalan Gurdwara, Jalan Macalister, Jalan Anson, Jalan Scotland dan Jalan Mount Erskine.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata paras air dianggarkan antara 0.3m hingga 0.9m.

Menurut Chow, ukuran hujan di kawasan Bukit Bendera, Batu Lanchang dan Sungai Pinang adalah di antara 51.5mm hingga 71.5mm dan difahamkan, sehingga 11 malam, banjir masih belum surut, namun tiada kejadian tidak diingini dilaporkan.

Menurut Wong, Pulau Pinang yang ditadbir Pakatan Rakyat turut meluluskan projek-projek perumahan sepanjang Lebuhraya Thean Teik semenjak 2008.

Ujarnya, kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan menetapkan pemaju membina saliran air termasuk longkang dan kolam takungan air terlebih dahulu bagi setiap projek pembangunan.

“Walaupun hujan amat lebat, tetapi hanya menyebabkan kenaikan air beberapa inci sepanjang Jalan Thean Teik dan Lebuhraya Thean Teik. Air surut dengan cepat dan tidak pun memasuki rumah atau sekolah,” kata Wong yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Kenyataan Teng silap dan cuba menangguk di air keruh. Saya perlu mengingatkan beliau tentang sejarah banjir besar Thean Teik angkara pembangunan berlebihan BN dan janganlah putar-belit (isu banjir), ” tegasnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: