Kediaman mangsa yang diceroboh tiga lelaki bertopeng dipercayai warga Indonesia pagi tadi.  Kediaman mangsa yang diceroboh tiga lelaki bertopeng dipercayai warga Indonesia pagi tadi.
 
 
GEORGETOWN - Seorang suri rumah menghadapi detik mengerikan apabila banglo yang dihuni bersama lima anaknya diceroboh tiga lelaki bertopeng di Persiaran Sungai Emas 1, Batu Feringghi di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi, mangsa tidur dalam bilik bersendirian didatangi tiga lelaki yang bersenjatakan pisau pemotong sayur.

Difahamkan, ketiga-tiga lelaki itu mengikat wanita berusia 37 tahun itu dengan tali pinggang anaknya sebelum menggeledah bilik berkenaan.

Menurut sumber, keterangan awal dari mangsa menyebut ketiga-tiga lelaki berkenaan mungkin berasal dari Indonesia berikutan bahasa pertuturan mereka.

Beliau berkata, mereka hanya mengikat mangsa manakala anak-anaknya tidak diganggu.

"Antara barang yang dlarikan ialah cincin berlian, rantai emas, subang emas, kamera, telefon pintar dan tabung," katanya kepada Sinar Harian.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalthrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Menurutnya, mangsa dan anak-anak tidak cedera.

Ketika kejadian, anak pengadu sedang tidur dan tidak diganggu suspek.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek masuk ke dalam rumah melalui pintu belakang.

"Pasukan forensik dihantar ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati kediaman mangsa tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

"Unit anjing pengesan (K-9) juga digunakan untuk membantu menjejaki suspek," katanya.

Mior Farid berkata, mangsa mengalami kerugiaan kira-kira RM15,000.

"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.