Rabu, 22 Oktober 2014

'Saya tak pernah setuju peluk, cium anjing'

MALAYSIAKINI



 
 
 
Seorang pendakwah yang muncul dalam acara kontroversi 'Saya Mahu Sentuh Anjing', Ahad lalu kesal dengan tindakan peserta yang bermesra dengan haiwan dalam program tersebut.

Mohd Iqbal Parjin melalui kenyataannya di Facebook berkata beliau tidak pernah bersetuju dengan tindakan memeluk dan mencium anjing.

"Saya ingin jelaskan di sini bahawa saya tidak bersetuju dengan aksi peluk, cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut oleh peserta program.

"Saya juga jelas menerangkan, tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu," kenyataannya dipetik.

Mohd Iqbal muncul dalam satu program dialog yang diadakan serentak dengan acara berkenaan, di tapak parkir sebuah pusat membeli-belah yang menarik kehadiran ratusan pengunjung.

Acara itu mula mencetuskan perbincangan apabila gambar hadirin beragama Islam merangkul, mengusap dan bermesra dengan anjing pada majlis itu dimuat naik di laman sosial.

Mengimbau acara itu, Mohd Iqbal turut menyalahkan dirinya sendiri turut terlibat memberikan gambaran bahawa penganut Islam digalakkan untuk bermesra dengan anjing.

"Saya akui yang saya terlepas pandang bahawa program ini disalah tafsir malah diambil kesempatan oleh setengah pihak untuk menggalakkan masyarakat Melayu awam bermesra-mesra dengan anjing tanpa sebab.

"Saya tidak pernah terfikir perkara ini boleh berlaku seolah-olah saya yang menggalakkannya," katanya lagi.

Mohd Iqbal turut kesal dengan liputan sebahagian media yang menurutnya hanya menyiarkan separuh daripada ucapannya.

"Saya terkilan kerana pihak media hanya menyebarkan sebahagian ucapan saya.

"(Ia) seolah-olah saya menyokong perbuatan tersebut, manakala bahagian hukum hakam tidak disebutkan oleh pihak media," katanya.

Beliau bagaimanapun memohon maaf kepada orang awam di atas kekeliruan yang timbul daripada ceramahnya pada majlis itu.

"Saya memohon maaf secara terbuka di atas segala kecelaruan dan kepincangan yang berlaku. Iktibar dan pelajaran yang berharga saya perolehi dari apa yang telah berlaku.
 

Tiada ulasan: