Ahad, 12 Oktober 2014

Saari, Hasnul digantung setahun

MUHAMMAD FAIZAL






KUALA LUMPUR: PAS menggantung keahlian Adun Hulu Kelang dan Morib, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin selama setahun berkuatkuasa hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali memberitahu keputusan tersebut diambil mengikut Fasal 82(6) Perlembagaan PAS.

"Hari kita bermesyuarat dan dipengerusikan oleh Presiden PAS telah membincangkan mengenai dua Adun PAS mengenai krisis di Selangor tempoh hari.

"‎Laporan telah kita bentangkan dan Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan mengenakan tindakan tatatertib dengan menggantung keahlian kedua-dua mereka selama setahun bermula hari ini," jelasnya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, sebentar tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub‎, Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Timbalan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.‎

Mustafa berkata, mengikut Fasal 83(4) dan (5) Perlembagan PAS, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Majlis Syura Ulamak dalam tempoh 15 hari.

"Mereka masih lagi menjadi Adun kerana kita hanya menggantung keahlian sahaja.

"Kedua-dua mereka tidak dibenarkan menjalankan apa-apa program rasmi di bawah nama parti," jelas beliau lagi.‎

Mereka dikenakan tindakan berikutan mendahului keputusan parti memberi sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail‎ dalam isu Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini.‎ - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: