Khamis, 30 Oktober 2014

Proton: Mengapa terlalu lama untuk keluar kereta elektrik

DR CHE ROSLI CHE MAT


Izinkan saya membaca sepotong ayat pendek Surah Al-Rahman, ayat 60 yang bermaksud, “Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik melainkan balasan yang baik juga”. 

Merujuk ayat di atas, saya berharap Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri-menteri kena berlapang dada kerana rakyat yang tidak menyokong Barisan Nasional pun pergi mengambil BR1M atau bantuan lain kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia.

Apa yang penting, Allah akan membalas budi baik Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Menteri-menteri yang budiman. Sama juga di Selangor, kita memberi bantuan atau kemudahan umpamanya air percuma, Skim Warga Emas, Tabung Warisan Anak Selangor dan Bantuan Masuk ke Universiti kepada semua yang berhak tanpa mengira latar belakang politik.

Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik
 
Antara perkara yang saya ingin bincang, pertama, Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk meningkatkan pelajar dalam STEM.

Berdasarkan rekod Kementerian Pendidikan, nisbah pelajar sains dan sastera pada tahun 1981 adalah 30%:61%, tahun 1982 hingga 1992 menurun iaitu 19% sains dan 62% ke 70% sastera. Tahun 2010 – 30%:50% dan selebihnya mengambil bidang vokasional dan teknikal.  Kerajaan Malaysia mensasarkan 60% orang pelajar mengambil jurusan STEM Jadi ini menjadi cabaran kepada kita terutama Kementerian Pendidikan. Sekarang saya difahamkan nisbah pelajar jurusan STEM berbanding bukan STEM adalah 42%:58% yang meningkat berbanding dengan tahun 2000 yang hanya 25%:75%.

Berdasarkan pengalaman kami tahun 1967, ketika itu dipaksa pelajar-pelajar aliran sastera yang mendapat pencapaian terbaik dalam Sains, Matematik dan Geografi peringkat SPM bertukar ke aliran sains semasa Tingkatan 6 rendah.

Nampaknya ramai yang berjaya sampai ke peringkat universiti dalam pelbagai bidang atau memasuki Maktab Perguruan Sains atau Maktab Perguruan Teknik yang menjadi pendidik dalam usaha memperbanyakkan lagi pelajar supaya mereka berminat dalam STEM.

Walaupun pelbagai usaha dibuat untuk meningkatkan pelajar STEM tetapi dorongan daripada ibu bapa dan insentif dalam kerjaya penting bagi menarik minat pelajar-pelajar menjurus dalam STAM.
Sebagai contoh ada di kalangan jurutera Lembaga Lebuhraya (LLM) menceritakan bahawa dia tidak benarkan anaknya mengambil STEM kerana mengenangkan dia sendiri yang bekerja siang dan malam tetapi bosnya dari aliran sastera hanya kerja waktu pejabat sahaja.

Walau bagaimanapun, kita perlu teruskan usaha bagi meningkatkan minat pelajar kita dalam STEM. Pentaksiran ujian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa - (TIMMS) 2011 pula menjelaskan bahawa pencapaian Matematik pelajar Malaysia adalah pada tangga ke-26 berbanding 42 buah negara yang mengambil bahagian. Hampir 38% orang pelajar berusia 14 tahun di negara ini gagal mencapai skor minimum untuk subjek Matematik dan Sains.

Berbagai-bagai usaha yang dibuat perlu diteruskan bagi menarik minat pelajar dan peluang kerjaya dalam STEM. Antaranya Pameran Sains dan Kejuruteraan di Pusat Sains Negara seperti yang pernah dianjurkan pada 25 hingga 27 April 2014 yang mana antaranya mempamerkan demonstrasi dan eksperimen sains secara hands on, aktiviti uji minda dan matematik, Program Mentoran Sekolah bagi Projek Sains dan Reka Cipta Kejuruteraan di bawah inisiatif Universiti Tunku Abdul Rahman, Projek Pameran STAM Sekolah, Pameran Sains Industri Teknologi dan Kejuruteraan, perkongsian berkaitan STAM oleh penceramah jemputan, poster pameran, video berkaitan dengan STAM.  Kedua, Pameran dan Conference Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko (IGEM) anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan pelbagai agensi.

Pameran baru-baru ini antara 15 hingga 19 Oktober 2014 merupakan kali kelima yang mempamerkan pelbagai produk dan membincangkan daripada tenaga boleh baharu, kereta hibrid elektrik, pengurusan sisa dan rawatan sisa dan banyak produk environmental friendly, dengan izin yang boleh mendedahkan dan menarik minat STEM kepada pelajar di samping memberi peluang pelaburan kepada usahawan-usahawan tempatan.

Ketiga, ceramah STEM bagi meningkatkan keupayaan pelajar untuk mengenal pasti, mengaplikasikan serta mengintegrasikan konsep atau komponen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik.

Keempat, lawatan ke industri-industri yang menggunakan teknologi moden seperti industri cat yang menggunakan bahan biologi, polimer, komposit, automotif dan lain-lain dan lawatan ke institusi penyelidikan sains seperti MARDI, PORIM, SIRIM, Nuklear Malaysia dan lain-lain dan perjumpaan dengan saintis-saintis bagi membuka minda mereka bahawa keadaan sains dan teknologi insya-Allah boleh menyelesaikan banyak masalah kehidupan seharian.

Kelima, penempatan di industri semasa cuti panjang persekolahan bagi mencari pengalaman kerja di industri.

Keenam, televisyen juga perlu memainkan peranan dalam menayangkan filem-filem dokumentasi sains dan teknologi.  Yang penting pendidikan STEM perlu diberi pendedahan awal di peringkat pra sekolah lagi sebagaimana kanak-kanak Korea diberi pendedahan awal kepada teknologi nuklear sehingga apabila mereka dewasa, mereka sudah mempunyai pengetahuan asas mengenai teknologi nuklear.

Persoalan saya, sejauh manakah kita dapat memberi pendedahan ini kepada pelajar-pelajar terutama pelajar-pelajar di luar bandar.

Selangor memperkenalkan tapping sains dan teknikal bagi memberi peluang di samping menghafal al- Quran, mereka juga memahami bahawa al-Quran juga sebagai sumber ilmu sains dan teknologi.

Kereta elektrik

Perkara yang kedua ialah kereta elektrik (EV). Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2015 akan meneruskan pengeluaran kereta elektrik dengan memberi penekanan dalam mengeluarkan lima puluh buah bas elektrik. Apakah syarikat yang akan mengendali pembinaan dan pengeluaran bas elektrik berkenaan atau hanya membeli sahaja dari luar negara?

Dalam rencana greener di TV3 menunjukkan Korea sudah mempunyai bas elektrik tetapi kelemahannya ia perlu dicaj minimum selama 30 minit setiap perjalanan sejauh 80 kilometer. Kenyataan pemandu, ‘Menyusahkan mereka’. Oleh itu saya berharap bas elektrik atau kereta elektrik yang akan dikeluarkan nanti di samping dapat memelihara masa depan alam sekitar dan mengurangkan pelepasan CeO2 adalah mesra pelanggan dan petugas.

Dalam pembentangan bajet beberapa tahun lepas, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Proton akan mengeluarkan kereta elektrik. Saya difahamkan dua model kereta elektrik (EV) akan dikeluarkan iaitu Saga EV dan Exora Range Extender (REEV) dan membina 100 ke 150 buah stesen pengecas.

Pada 14 September 2011, tiga buah kereta Proton Saga EV dan Exora REEV diserahkan kepada Perdana Menteri dan empat unit diserahkan setiap satu kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan bagi menguji pandu.

Persoalannya, mengapa terlalu lama diambil untuk dikeluarkan secara komersial atau mass production. Apakah masalah yang dihadapi? Adakah Proton juga berhasrat mengeluarkan kereta hibrid sebagaimana Toyota, Honda, Nissan dan lain-lain.

Carbon footprint

Carbon footprint. Gas rumah hijau atau Green House Gas (GHG) dibebaskan daripada aktiviti pengangkutan, kerja tanah, penghasilan dan penggunaan makanan, bahan api, pengeluaran atau pembinaan, perindustrian barangan dan perkhidmatan.

Saya tertarik dengan FRIM yang telah membuat kiraan carbon footprint dalam usaha menjimatkan tenaga. Anggaran jumlah carbon footprint FRIM 2011 sebanyak 5,332 metrik tan CeO2 a covalent. Berdasarkan per kapita iaitu 6.1 metrik tan CeO2 a covalent. Ini termasuk dari GHG, aktiviti R&D, penggunaan elektrik, pengangkutan untuk R&D.

Pembebasan CeO2 dari R&D dan aktiviti pentadbiran FRIM boleh diatasi dengan penyerapan oleh tumbuhan di FRIM iaitu tumbuhan setiap hektar hutan boleh menyerap 638 metrik tan CeO2.

FRIM yang diliputi dengan 420 hektar hutan boleh menyerap total carbon 0.26 juta tan CeO2 a covalent dengan lain perkataan pembebasan CeO2 di FRIM hasil dari R&D adalah 50 kali lebih kecil dari kemampuan penyerapan oleh tumbuhan. FRIM merupakan satu institusi di Malaysia yang mengisytiharkan carbon footprint.

Baru-baru ini TNB membuat kiraan carbon footprint yang dihasilnya. Bagaimanakah jumlah carbon footprint dalam negara kita kerana Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengisytiharkan di Copenhagen akan mengurangkan secara sukarela sebanyak 40% Growth Domestic Product (GDP) carbon footprint, dengan izin menjelang tahun 2020 berbanding paras pada tahun 2005.

Merujuk kepada persoalan Yang Berhormat Parit Buntar dalam soalan lisan kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, adakah ada koordinasi antara kementerian- kementerian yang terlibat yang menghasilkan GSG bagi merealisasi pengisytiharan yang dibuat oleh Perdana Menteri di atas.

Saya ingin mencadangkan satu suruhanjaya diwujudkan dengan diketuai oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar bagi menangani masalah pengurangan keamatan karbon.

Saya juga sangat berharap penjelasan kementerian jika ada usaha-usaha lain bagi mengurangkan keamatan karbon.

Keperluan sekolah

Merujuk kepada kawasan saya pertama pembesaran jalan. Saya sekali lagi berharap bantuan dan kerjasama Kementerian Kerja Raya memperuntukkan sebahagian daripada Bajet 2015 ini untuk membesarkan jalan dari Batu 9 ke Batu 18, Dusun Tua dan dari Jambatan Timbang JPJ Semenyih ke Beranang, Semenyih yang mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk hampir setiap waktu bagi memudahkan pegawai-pegawai kerajaan dan swasta sampai ke tempat kerja mereka mengikut jadual yang ditetapkan yang selama ini tidak menentu.

Kedua, keperluan sekolah. Penduduk Bandar Mahkota Cheras yang berjumlah lebih 65,000 orang tidak langsung mempunyai sekolah. Sedangkan pemaju memperuntukkan enam buah tapak sekolah rendah dan menengah.

Saya sangat berharap pertimbangan dari Kementerian Pendidikan agar dapat membina sekurang-kurangnya satu sekolah rendah dan satu sekolah menengah. Begitu juga bagi penduduk sekitar Prima Saujana Kajang yang berjumlah dalam 62,000 memerlukan satu sekolah menengah bagi kesinambungan kepada pelajaran Sekolah Rendah Kantan Permai yang sekarang ini bersekolah di Sekolah Menengah Saujana Impian.

Sekali lagi saya berharap pertimbangan pihak Kementerian Pendidikan mempertimbangkan keperluan kemudahan pendidikan.

Banjir kilat di Kajang

Akhir, banjir kilat. Kita tahu pembangunan Bandar Kajang berjalan dengan pesat. Pembangunan yang tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan terutama kemudahan longkang dan kolam takungan yang sesuai dengan projek menyebabkan berlaku banjir kilat seperti yang berlaku di Kajang baru-baru ini. Ia menyebabkan kesusahan kepada penduduk yang telah lama mendiami satu-satu taman.

Saya sangat berharap Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat menguatkuasakan peraturan yang ditetapkan oleh PBT dan mengenakan hukuman yang ketat kepada pemaju yang lalai mengikut peraturan yang ditetapkan.- HARAKAHDAILY

Petikan ucapan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat ketika membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 28 Oktober 2014.

Tiada ulasan: