Isnin, 13 Oktober 2014

PKR tak mahu campur tangan PAS gantung Saari dan Hasnul

Oleh Nurshakira Buang
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PKR tidak akan campur tangan berhubung tindakan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat semalam yang memutuskan untuk menggantung keahlian dua ADUN parti itu, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib) selama setahun.
 
Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata ini kerana setiap parti mempunyai hak untuk menjalankan proses dalamannya sendiri tanpa campur tangan pihak luar.
 
"Itu adalah proses dalaman PAS, dan saya rasa setiap parti mempunyai hak untuk menjalankan proses dalaman.
 
"Sepertimana yang kalau proses itu berlaku dalam Keadilan, kita menghargai kalau rakan-rakan kita tidak campur tangan, saya rasa tidak wajar kalau parti-parti lain di dalam Pakatan Rakyat cuba campur tangan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
 
Bagaimanapun, beliau berkata PKR tetap menghargai sokongan kedua-dua ADUN PAS itu dan menyifatkan mereka sebagai tokoh pejuang.
 
"Saya menghargai saudara Hasnul sebagai kawan baik saya dan juga saudara Saari sebagai tokoh pejuang yang saya kenal daripada muda yang saya hormati.
 
"Tetapi proses membuat keputusan di dalam PAS itu saya amat hargai dan saya tidak akan bagi komen atau campur tangan, dan saya tak rasa siapa-siapa patut campur tangan," katanya. 
 
Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat memutuskan untuk menggantung keahlian dua ADUN parti itu, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib) selama setahun.
 
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata tindakan tatatertib itu diambil berdasarkan peruntukan Fasal 82 (6) Perlembagaan PAS.
 
"Laporan berhubung isu itu telah kami bentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat hari ini yang dipengerusikan Presiden.
 
"Berdasarkan kepada peruntukan Fasal 82 (6) Perlembagaan PAS, jawatankuasa PAS Pusat membuat keputusan mengenakan tindakan tatatertib ke atas kedua-dua orang ADUN itu," katanya dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, sebentar tadi.
 
Saari dan Hasnul sebelum ini bertindak melangkaui keputusan parti berhubung isu jawatan Menteri Besar Selangor.
 
Kedua-dua mereka bertindak menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor, sebelum parti mengeluarkan pendirian rasmi. 
 
Namun menurut Mustafa, kedua-dua mereka berpeluang mengemukakan rayuan dalam tempoh 15 hari berkuatkuasa semalam.

Tiada ulasan: