Selasa, 21 Oktober 2014

PKNS tak terima aduan rasuah ke atas Azmin

MALAYSIAKINI


 


Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjelaskan bahawa syarikat bawah kerajaan negeri itu tidak pernah menerima sebarang aduan berhubung kes rasuah melibatkan bekas pengarahnya, Azmin Ali.

Dalam kenyataannya, PKNS menegaskan demikian bagi mengulas laporan yang menyebut bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneruskan siasatan ke atas Azmin.

PKNS menerusi pengerusi perhubungan awamnya, Ishak Hashim menyebut, syarikat tersebut sedia memberi kerjasama kepada SPRM untuk siasatan berkenaan.

“Adalah ditegaskan bahawa PKNS tidak pernah menerima sebarang aduan terhadap beliau yang membabitkan salah laku atau penyalahgunaan kuasa.

“SPRM berhak membuat siasatan berkaitan PKNS berasaskan aduan oleh mana-mana pihak dan PKNS bersedia memberikan kerjasama untuk SPRM melaksanakan tugas mereka,” kenyataan itu dipetik.

Menurut laporan 15 Oktober, SPRM menyiasat Azmin berhubung dakwaan salahguna dana semasa menjawat jawatan berkenaan.

Tuduhan penyalahgunaan dana itu berlaku dalam satu urusniaga melibatkan Projek Pembangunan PJ Sentral.

Laporan Bernama yang memetik kenyataan pengarah siasatan, Mohd Jamida Abdullah menyebut bahawa para penyiasat masih mengumpul bukti dan maklumat berhubung kes tersebut.

Azmin disingkir dari jawatan PKNS, bersama 22 orang kakitangan profesional lain, secara mendadak dari syarikat berkaitan kerajaan negeri itu, awal Februari lalu.

Pemecatan itu berlaku ketika kemelut politik dalaman PKR Selangor masih bergolak antara kem Azmin dan menteri besar pada masa itu, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tiada ulasan: