Khamis, 2 Oktober 2014

Petrol naik lagi, rakyat jadi korban

Oleh JOFRI JARAIEE PAS SARAWAK

 
KETIKA saat umat Muslim hendak menyambut Hari Raya Qurban atau lebih dikenali sebagai Idul Adha tiba-tiba dikejutkan dengan kenaikan harga petrol RON95 dan diesel naik sebanyak 20 sen seliter.  Pada 2 September 2013 yang lalu harga RON95 dan diesel pun naik sebanyak 20 sen.

Sekarang sekali lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter berkuat kuasa 12.01 tengah malam, 2 Oktober 2014.

Dengan ini harga runcit baharu bagi Petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter. Harga pasaran bagi petrol RON95 pada sebelum ini ialah RM2.58 seliter dan harga diesel RM2.52 seliter.

Apabila harga petrol naik sudah pasti kos barangan keperluan lain juga akan meningkat disebabkan oleh pengurusan rantaian bekalan (SCM) iaitu pengurusan aliran barangan. Ia termasuk pergerakan dan penyimpanan bahan mentah, inventori kerja dalam proses dan barangan siap dari tempat asal ke titik penggunaan, saling berhubungan atau rangkaian saling berkaitan, saluran dan perniagaan nod terlibat dalam penyediaan produk dan perkhidmatan yang diperlukan oleh pengguna akhir dalam rantaian bekalan.

Dari sinilah ianya melibatkan kos semua barangan yang hendak dihantar kepada pengguna. Untuk sampai kepada pengguna, pihak pengilang terpaksa mengguna pengangkutan yang melibat kos petrol yang digunakan oleh kenderaan pengangkutan. Secara tidak langsung semua harga barang keperluan pasti akan naik disebabkan kenaikan harga petrol dan diesel.

Begitu juga kos pengangkutan ke luar bandar dan nasib penduduk kampung yang masih menggunakan generator untuk menghidupkan bekalan elektrik yang terpaksa menggunakan petrol dan diesel pasti akan terkesan dengan kenaikan harga petrol ini. Bukan semua penduduk di luar bandar di Sarawak menikmati bekalan elektrik.

Belum pernah kita melihat pihak kerajaan menurunkan harga petrol RON95 dan diesel apabila harga pasaran antarabangsa turun.

Walaupun BR1M mungkin dinaikkan, belum tentu semua pihak yang akan menikmati hasil pemberian tersebut, sedangkan dengan kenaikan harga petrol, semua akan terkesan kecuali mereka yang kaya raya serta ada kemudahan elaun seperti para menteri dan mereka yang berjawatan tinggi dalam kerajaan.

Rakyat jadi korban akibat kenaikan harga petrol ini kerana ini bukan masanya menaikan harga petrol ketika rakyat menghadapi inflasi yang boleh menyebabkan rakyat akan terus menangung hutang yang berpanjangan.

Kita menggesa pihak kerajaan mengkaji semula kesan dari kenaikan harga petrol ini kepada rakyat lebih-lebih lagi yang berpendapatan kecil dan juga pengguna di luar bandar.

Tiada ulasan: