Selasa, 21 Oktober 2014

Penceramah agama kempen sentuh anjing minta maaf

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Ustaz Mohd Iqbal Parjin, individu yang terlibat secara langsung dengan kempen 'I Want To Touch a Dog' hujung minggu lalu meminta maaf kerana penglibatannya dalam acara itu mencetuskan kekeliruan kepada orang awam.
 
Beliau juga menegaskan tidak bersetuju sama sekali dengan aksi peluk, cium anjing seperti yang dilakukan peserta yang hadir, yang rata-ratanya beragama Islam.
 
"Saya memohon maaf secara terbuka di atas segala kecelaruan dan kepincangan yang berlaku. 
 
Iktibar dan pelajaran yang berharga saya perolehi dari apa yang telah berlaku," katanya menerusi satu surat terbukanya.
 
Iqbal berkata, beliau bersetuju untuk menyertai kempen itu sebaik diberitahu penganjur bahawa acara itu mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
 
"Saya memenuhi jemputan ini, dan menjelaskan kepada yang hadir mengenai hukum-hakam yang jelas menurut mazhab Syafi’e, seperti yang terdapat dalam fatwa JAKIM. 
 
"Saya difahamkan bahawa tempat perkongsian ilmu diasingkan dari tempat anjing-anjing berkumpul.
 
"Saya akui yang saya terlepas pandang bahawa program ini disalah tafsir malah diambil kesempatan oleh setengah pihak untuk menggalakkan masyarakat Melayu awam bermesra-mesra dengan anjing tanpa sebab," katanya.
 
Iqbal berkata penyertaanya dalam kempen itu disalahtafsir dan beliau tidak pernah terfikir untuk menggalakkan umat Islam memegang anjing tanpa sebab yang perlu.
 
"Saya ingin JELASKAN disini bahawa saya TIDAK BERSETUJU dengan aksi peluk,cium anjing yang dilakukan pada hari tersebut oleh peserta-peserta program.
 
Saya juga jelas menerangkan,tidak dibenarkan menyentuh anjing tanpa sebab yang perlu," katanya.
 
Kempen sentuh anjing yang berlangsung di Central Park, One Utama pada Ahad lalu dianjurkan bagi membuang stigma masyarakat khususnya Islam tentang bersentuhan dengan anjing, dakwa penganjurnya Syed Azmi Alhabshi.
 
Kempen itu mendapat sambutan di mana lebih 1,000 hadir, lapor sebuah portal.

Tiada ulasan: