Jumaat, 10 Oktober 2014

Pembentangan Bajet, dan pujian 'cendiakawan-cendiakawan' negara



Petang nanti, jika kita tidak ada apa rancangan untuk melakukan apa-apa program keluarga, kita boleh mendengar ucapan pembentangan bajet bagi tahun 2015 oleh Dato Seri Perdana Menteri Najib di Parlimen. Pembentangan bajet ini adalah satu yang dilakukan setiap tahun untuk memberitahu rakyat jumlah akan dibelanjakan untuk pengurusan negara dan jumlah wang yang akan diperuntukan untuk pembangunan negara bagi tahun hadapan, dan ianya perlu diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara kita.

Kita tidak tahu apa yang akan dibentangkan oleh Najib, apakah insentif-insentif untuk rakyat dan bagaimana kerajaan akan mendapatkan sumber kewangan bagi menguruskan kerajaan dan pembangunan negara keseluruhannya. Setiap tahun, kecuali semasa kita ditadbir oleh Mageran dahulu, kita dibentangkan dengan belanjawan negara dan setiap pembentangan bajet itu adalah untuk kebaikan rakyat dan negara.

Selalu dan biasanya Menteri Kewangan akan membentangkan cadangan untuk diluluskan oleh Parlimen bagaimana kerajaan mendapatkan sumber kewangan, dan apa-apa yang perlu seperti yang mana satu cukai yang akan diturunkan dan yang mana yang dinaikkan atau yang akan dimansuhkan mengikut perincian dan pertimbangan kerajaan untuk menghadapi rakyat dalam isu perbelanjaan negara pada tahun berikutnya dan dalam kes ini ialah bagi tahun 2015 nanti.

Tetapi yang pastinya sebahagian dari tindakan kerajaan dalam bajet tahun hadapan sudah pun dilaksanakan dengan menghapuskan subsidi bahan bakar sejak dua minggu yang lepas. Kenaikan harga petrol dan diesel dua minggu yang lepas sudah menunjukan yang kerajaan yang berslogankan ‘rakyat didahulukan’ sedang menghadapi masalah untuk mengekalkan subsidi bahan api itu sehinggakan telah dihapuskan subsidi bahan api ini sebanyak 0.20 sen bagi satu litre.

Slogan ‘rakyat didahulukan’ itu sesungguhnya dilaksanakan dengan mendahulukan rakyat untuk menanggung masalah diatas kekurangan sumber kewangan negara kita sekarang ini. Apabila masalah kewangan negara meruncing rakyat lah yang mendahului membayar kekurangan dan mengorbankan apa yang sedia di nikmati mereka. Dalam mereka sedang dihimpit dengan kos kehidupan yang sangat tinggi, rakyatlah yang didahulukan untuk menanggung beban kerajaan sekarang ini. Seorang Menteri yang paling lucu, Hasan Malek telah meminta rakyat bersyukur dengan kenaikan harga petrol dan diesel itu. Pandangan Menteri ini sungguh melucukan dan jangan diambil hati dengan kata-katanya itu.

Kita tidak tahu apakah kandungan ucapan Najib petang ini tetapi yang pastinya pihak media, terutamanya pihak media perdana sudah siap dan lengkap persediaan mereka untuk membariskan orang-orang yang bergelar dan bernama seperti professor-professor dan ahli perbankan yang terkenal dalam negara ini. Mereka akan ditampilkan dikhalayak ramai melalui kaca-kaca TV dari berbagai-bagai saluran untuk memuji dan menganggap apa yang akan dibentangkan petang ini merupakan satu bajet yang terbaik sejak negara merdeka.

Itulah yang selalu berlaku setiap tahun, bajet setiap tahun itu adalah bajet yang terbaik dari tahun-tahun atau pemimpin-pemimpin sebelumnya sejak merdeka dahulu. Professor-professor yang akan tampil dikaca TV pun sudah boleh diagak kerana itu sahajalah muka-muka yang akan ditonjolkan oleh media perdana kita dan mereka yang memuji itu pun sedang merangka strategi bajet pembangunan diri mereka masing-masing untuk tahun-tahun yang akan datang. Kesempatan itu akan mereka gunakan untuk menggeli pundi-pundi pemimpin yang membentangkan bajet itu walaupun belum pun berkesempatan untuk membaca teks ucapan yang panjang berjela-jela itu.

Walau bagaimana pun kita tunggu sahaja ucapan pembentangan bajet petang ini jika ada kelapangan. Kepada mereka yang sibuk dengan usaha untuk mencari rezki keluarga dan tidak ada masa untuk mendengar ucapan itu, elok teruskan sahaja tindakan mencari penghidupan kita kerana apa yang akan dibentangkan itu adalah ‘predictable’ bagi setengah pihak dan tidak ada apa-apa ‘consequence’ yang memberikan keuntungan kepada rakyat biasa seperti kita ini.

Pembentangan bajet hari ini merupakan satu ‘ritual’ tahunan sahaja tanpa mempunyai ‘consequence’ yang besar kebaikannya terhadap rakyat dan negara. Itulah yang terjadi setiap tahun. Jika kita hendak mendengar yang baik tontonlah pendapat ‘cendiakawan-cendiakawan’ dari universiti-universiti tempatan petang dan malam ini nanti.

Kita akan mendengar bajet hari ini sebagai bajet mesra rakyat, bajet yang terbaik dalam sejarah negara, bajet yang akan memberikan keuntungan kepada rakyat biasa, pemberian BRIM itu menunjukan kerajaan prihatin tentang masalah mereka, dan berbagai-bagai lagi pujian dari ‘cendiakawan-cendiakawan’ yang selalu dipanggil ke studio-studio TV untuk memuji dan menyokong bajet yang dibentangkan oleh Najib nanti.

Jika kita mahu, ‘template-template’ nya boleh di tulis sekarang ini, tetapi kalau ditulis, takut pula ramai yang tidak seronok mendengar komen-komen mereka nanti.

Tiada ulasan: