Selasa, 7 Oktober 2014

Parlimen bermula dengan penantian Bajet 2015

MALAYSIAKINI



 
 
Dewan Rakyat memulakan sidang terakhir 2014 hari ini untuk dengan topik perbahasan paling penting negara - bajet tahunan.

Sidang yang dijadualkan sehingga akhir November ini dijangka memperlihatkan perbahasan hangat mengenai tekanan sara hidup dan kesan kepada rakyat selepas harga minyak petrol dan diesel naik minggu lalu serta cara kerajaan menanganinya.

Satu protes mengenai kenaikan harga barang telah pun dirancang esok bakal dihadiri Pemuda PAS dan beberapa NGO menunjukkan ketidakpuasan hati mereka dengan tindakan rasionalisasi subsidi kerajaan pusat.

Jumaat ini, Datuk Seri Najib Razak pula bakal membentangkan bajet keenam beliau dalam kerajaan yang turut dijangka memuatkan perincian mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan April tahun depan.

Najib turut menjadi tumpuan terutamanya selepas kerajaan beliau berjanji kos Sara hidup dan inflasi tidak akan meningkat dan menyusahkan rakyat dengan rasionalisasi subsidi dan pelaksanaan enam peratus GST.

Sementara itu beberapa pindaan akta dan rang undang-undang (RUU) turut menjadi tumpuan dalam sesi kali ini.

Antaranya ialah pindaan kepada RUU Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memberi kuasa kepada Najib untuk melantik ahli panel pelaburan kepada LHDN.

RUU ini telah ditarik pada sidang Jun lalu selepas dikritik hebat pakar cukai dan pembangkang yang bimbang ia bakal membenarkan panel itu menggunakan wang cukai rakyat untuk pelaburan.

Tetapi PKR menyatakan RUU itu bakal dibacakan semula tanpa sebarang pindaan.

Sementara itu RUU mengenai tenaga nuklear turut dikatakan bakal dibahaskan.

Sidang ini turut melihat Pakatan Rakyat kehilangan dua kerusi parlimen selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipecat oleh PKR dan kekalahan DAP dalam Pilihan Raya Kecil Teluk Intan.

Dengan hanya 87 kerusi, pemerhati kini melihat pemimpin Pakatan Rakyat sama ada akan terus bergeseran atau mengambil kesempatan ini untuk kembali berdamai.

Tiada ulasan: