Isnin, 6 Oktober 2014

Nota Kepada Ahmad Maslan: Pada 2009 Najib Bukannya Turunkan Harga Minyak, Tapi Perkenal Ron 95

shahbudindotcom.

 
Dalam mempertahankan keputusan kerajaan menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 20 sen lagi baru-baru ini, Timbalan Menteri Kewangan, Ahmad Maslan menyatakan bahawa Najib Razak juga adalah satu-satunya Perdana Menteri yang berani menurunkan harga minyak sebanyak 90 sen pada tahun 2009.

"Apabila berkaitan dengan penurunan adakah sesiapa tampil berterima kasih kerana beliau berbuat demikian? Ada tak? Atau mereka buat-buat tak ingat?," tanya beliau dalam laman makro twitternya.

Tindakan Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO mempertahan dan memuji Perdana Menteri ini dipercayai berikutan meningkatnya serangan dan kecaman terhadap Najib mengenai kenaikan harga minyak kali ini memandangkan kenaikan itu dilakukan hanya tiga hari menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.

Sudah tentunya kenaikan itu telah dan akan menyebabkan meningkatnya harga barangan pengguna di pasaran dan menambahkan lagi sengetnya beban bahu rakyat di musim perayaan ini.

Memanglah diakui bahawa sebaik Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009, beliau kemudian bertindak menurunkan harga minyak sebanyak 90 sen pada September tahun yang sama.

Beliau menurunkan harga minyak itu berikutan mantan Perdana Menteri, Abdullah Badawi sebelum itu telah menaikkan harga minyak secara mendadak sebanyak 30 sen pada 2006 dan kemudian 78 sen pada 2008.

Kenaikan paling tinggi yang dilakukan oleh Abdullah Badawi yang menyebabkan harga petrol menjadi RM2.70 seliter itu kemudian menjadi antara punca penolakan rakyat terhadap kepimpinannya yang akhirnya menyebabkan beliau bersetuju mengadakan peralihan kuasa kepada Najib Razak.

Jika Ahmad Maslan terlupa, ingin diingatkan bahawa Najib menurunkan harga petrol sebanyak 90 sen ketika itu ialah dengan memperkenalkan minyak Ron 95 yang lebih rendah kualitinya dan diperkenalkan Ron 97 yang terus dikekalkan pada harga biasa.

Hakikatnya, pada 2009 itu Najib bukan pun menurunkan harga minyak, cuma menawarkan minyak lain yang berkualiti rendah saja iaitu Ron 95 dengan harga pengenalan RM1.80 seliter.

Apakah dengan memberi kualiti minyak yang lebih rendah dengan harga yang murah, ia boleh dianggap penurunan dan kita juga perlu memberi pujian melangit terhadap Najib?

Untuk makluman Ahmad Maslan yang didapati merupakan pemimpin UMNO yang paling kerap memuji Perdana Menteri sejak merdeka pada 1957, setelah memperkenalkan Ron 95 dengan harga RM1.80 pada 2009 itu, Najib juga sudah menaikkannya sebanyak 50 sen hanya dalam tempoh 5 tahun.

Kalau ada pun ucapan terima kasih kepada Najib kerana menurunkan harga minyak, nilainya cuma tinggal 40 sen saja lagi.

Oleh itu, sementara kebanyakan menteri lain kekal berdiam diri, biarlah Ahmad Maslan saja yang terus unggul tampil memuji-muji kelemahan Najib ini.

Tiada ulasan: