Jumaat, 10 Oktober 2014

Menjelang beberapa jam pesta arak Oktoberfest, penganjur masih belum dapat kelulusan

Oleh Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
 
KUALA LANGAT: Penganjur pesta arak Oktoberfest 2014 - Carlsberg Malaysia - masih belum memenuhi syarat yang ditetapkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), walaupun ia bakal berlangsung dalam masa beberapa jam lagi seperti yang dijadualkan.
 
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali ketika diminta mengulas perkembangan berhubung kontroversi pesta berkenaan memaklumkan bahawa sehingga kini penganjur masih belum mendapat kebenaran daripada polis dan kastam, iaitu antara syarat yang ditetapkan MBPJ sebelum kelulusan diberikan.
 
Azmin bagaimanapun enggan mengulas ketika diajukan soalan sama ada pesta tersebut akan menjadi 'haram' sekiranya tetap dilangsungkan tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan.
 
"Saya tak mahu adilinya. Biar mereka laluinya mengikut semua proses. Penganjur mesti mematuhi semua syarat yang ditetapkan kastam, polis dan PBT.
 
"Sehingga semalam saya dimaklumkan MBPJ mereka (penganjur) belum dapat kelulusan. Jadi sebelum dapat kelulusan MBPJ, mereka perlu mendapatkan kebenaran daripada kedua-dua agensi terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Turun Padang di Dewan Seri Jugra, pagi tadi.
 
Pesta yang telah mula berlangsung sejak 24 September lalu itu bakal menuju sambutan kemuncaknya malam ini.
 
Ia dijadual diadakan di pusat membeli belah One Utama di Petaling Jaya daripada 10 hingga 12 Oktober dan dijangka menarik perhatian 12,000 orang penggemar bir.
 
Sebelum ini, pesta berkenaan telah berlangsung di Hotel Subang dan beberapa tempat di Selangor dan Kuala Lumpur.
 
Dalam perkembangan berlainan, Azmin memaklumkan kerajaan negeri akan mempertingkatkan perbelanjaan pembangunan sehingga hampir 50 peratus dalam bajet negeri 2015 yang akan diperincikan di dalam sidang dewan akan datang.
 
"Saya telah minta pandangan Exco, pegawai kewangan dan perbendaharaan negeri untuk rangka satu pendekatan baru iaitu mengurangkan perbelanjaan mengurus dan meningkatkan perbelanjaan pembangunan.
 
"Di Selangor, kita akan perkenalkan satu dasar ekonomi dan pembangunan yang adil dan menyeluruh. Insya-Allah perbelanjaan pembangunan akan ditingkatkan hampir 50 peratus," katanya lagi.

Tiada ulasan: