Isnin, 27 Oktober 2014

Mejar Zaidi diperintah bela diri dua tuduhan

MALAYSIAKINI



 


Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia Mejar Zaidi Ahmad diperintah membela diri terhadap dua daripada tujuh pertuduhan pindaan yang dikenakan terhadap beliau sebelum ini.

Dua tuduhan tersebut ialah melanggar Perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961 - di bawah perenggan 3 dan perenggan 13.

Perenggan 13 tuduhan membuat kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa kelulusan Kementerian Pertahanan.

Perenggan 3 pula merujuk kepada tuduhan menyiarkan kawat tumpangan razmi kepada media tanpa kelulusan pihak Majlis Angkatan Tentera.

Mahkamah memutuskan untuk mengugurkan pertuduhan keempat sehingga ketujuh terhadap Zaidi.

Bagi pertuduhan pindaan pertama, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap Zaidi.

Yang Dipertua Mahkamah Tentera, Kolonel Saadon Hasnan berkata panel mahkamah bersetuju dengan hujah peguam bela Zaidi bahawa dakwat kekal bukan satu subjek yang perlu disiasat oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana ia dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

Setuju hujah pendakwa

Bagaimanapun jelasnya, panel juga bersetuju dengan pendakwaan bahawa Zaidi gagal mendapat kelulusan dari Kementerian Pertahanan sewaktu memberi keterangan tentang dakwat kekal yang "berkaitan dengan hal kerajaan".

"Mahkamah mengarahkan tertuduh Mejar Zaidi Ahmad dipanggil membela diri terhadap pertuduhan kedua dan ketiga," kata Saadon sewaktu membacakan penghakiman panel selama kira-kira 50 minit.

Zaidi kini akan membela diri terhadap tuduhan pindaan memberi kenyataan media berhubung isu dakwat kekal tanpa kelulusan Kementerian Pertahanan di perkarangan surau IPD Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1 Mei 2013.

Beliau juga berdepan tuduhan menyiarkan maklumat rasmi berupa kawat tumpangan keluar kepada media tanpa kelulusan Majlis Angkatan Tentera pada 3 Mei 2013 di Taman Bertam Indah, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Jika sabit kesalahan, Zaidi bakal berdepan hukuman maksimum dua tahun penjara atau hukuman lebih ringan termasuk dibuang kerja.

Mahkamah akan bersidang semula pada 5 November ini jam 9 pagi.

Tiada ulasan: