Jumaat, 10 Oktober 2014

Masa Depan PAS Dan "PAS Masa Depan

Oleh Ridzwan Abu Bakar


Masa depan politik Pas dalam persada dunia politik kuasa tanahair sedang dibincangkan dengan hebat oleh pelbagai pihak, yang menyokong, yang menentang mahupun yang memberikan harapan dan pergantungan kepada parti politik seumpama PAS yang mendokong prinsip "rahmatan lil alamin".

Apakah masa depan PAS dalam persada politik kuasa? Dan apa pula masa depan negara bersama PAS? Dua persoalan berbeza yang bermain dalam minda para pemain dan pemerhati politik yang akan mengulas dan meng"ayak" persoalan tersebut sehingga akhirnya akan mempengaruhi khalayak massa.

Apapun, apabila berbicara tentang "masa depan PAS", kita sedang berbicara berkaitan satu perkara yang ghaib, yang tidak diketahui secara pasti melainkan oleh Allah, Tuhan Yang Maha Mengetahui. Namun, ada ukuran yang boleh kita berpegang dengannya, iaitulah ukuran sunnatullah "dan sesungguhnya sunnatullah itu tidak akan berubah ganti" (Al Fath 23).

Diantara sunnatullah ialah "anda akan tuai apa yang anda tanam", kita tidak mungkin tahu apa yang akan kita tanam esok, kerana kita juga kita tahu apakah kita masih punya esok, namun kita boleh "agak" apakah hasil tanaman kita pada satu ketika berdasarkan usaha kita menanam dan menjaga tanaman kita. Bahkan Allah mengajar kita supaya membuat jangkaan masa berpandukan "amalan" yang kita tanam di dunia ini, "Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan telitilah apa yang akan dipersembahkan pada hari esok (di akhirat kelak) dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu jadi seperti orang yang lupakan Allah lalu Allah lupakan mereka" (Al Hasyr 18,19).

Kesimpulannya, masa depan PAS tidak dapat lari melainkan ia merupakan hasil dari agenda bertindak dan apa yang sedang di"tanam" oleh pimpinan kepada khalayak massa pada ketika ini.

Tiada siapa pun boleh menafikan bahawa masa depan PAS juga dirancang dengan teliti oleh pihak lain yang memusuhi PAS, namun perancangan PAS terhadap dirinya pada hari ini lebih berkesan untuk mencorak masa depan yang "bagaimana"?

Apakah "PAS masa depan?"

Sebelum meneruskan, saya ingin nyatakan bahawa kita amat yakin dengan "ISLAM" yang diperjuangkan oleh PAS, dan inilah antara penyebab utama kebanyakan orang berintima dengan PAS (paling tidak saya dan kebanyakan yang saya kenali dalam pas).

Sudah tentulah Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah Islam yang "satu satunya" dan yang "original". Lalu, kita tidak perlu bincangkan tentang Islam masa depan kerana Islam itu sendiri "sesuai untuk semua keadaan dan semua zaman". Namun, yang kita akan bincangkan adalah PAS sebagai pembawa Islam dalam zaman yang serba mencabar ini.

Islam dengan makna perbincangan aqidah, syariah dan akhlak adalah perkara yang tetap dan boleh dilaksanakan dalam pelbagai zaman. Namun, kaedah untuk menjalinkan keperluan ummat kepada Islam dan tuntutan zaman itu yang perlu difikirkan.

Secara ringkasnya, ummat diseluruh dunia sedang berhadapan dengan tiga pola faham berkaitan Islam.

1. Ada kelompok yang giat membicarakan berkaitan Islam dan cabang Aqidah, syariah dan akhlak secara terpisah. Ada yang mahukan "aqidah mesti jelas sekali pun syariah tak boleh dilaksanakan" "dakwah tanpa negara" "tegakkan kebenaran tanpa prinsip" "ibadah tanpa muamalah" dan sebagainya.

2. Ada yang mempromosikan Islam dengan wajah yang ganas, mereka memusuhi siapa sahaja yang tidak bersama mereka, dapat membunuh insan lain dan memperagakan pembunuhan itu di khalayak dianggap jihad. Tiada dialog dengan pihak lain, yang ada hanya hukum dan peraturan.

3. Ada juga sekelompok para pejuang agama yang ingin membawa Islam dengan wajah yang damai dan rahmat, agama yang membawa kegembiraan bukan kesengsaraan, agama yang mempromosikan taaruf dan dialog, agama yang menekankan konsep tasamuh, agama yang menolak taassub, agama yang sentiasa disegarkan dengan usaha tajdid, agama yang menolak sikap melampau. Pendeknya, agama yang ditawarkan adalah agama yang damai dan membawa rahmat kepada seluruh manusia.
Yang ketiga inilah yang seharusnya digambarkan berkaitan "PAS masa depan" kerana itulah Islam yang diturunkan oleh Allah swt kepada baginda ar Rasul.

PAS dan para ulamanya perlu berinteraksi dengan zaman, dan memastikan bahawa Al Quran dan as Sunnah sememangnya kitab penyelesai kemelut ummah.

PAS masa depan tidak boleh bersaing dengan UMNO dalam mentakrifkan Islam, kerana UMNO tidak layak pun untuk turut berbicara tentang Islam yang mendamaikan. Paluan kompang UMNO dalam isu agama jangan dilayan kerana itu semua adalah rencana mereka untuk mencacatkan "masa depan PAS" dan "PAS masa depan".

Tiada ulasan: