Jumaat, 3 Oktober 2014

Mana perginya salinan perjanjian penstrukturan air Selangor?

SELANGOR KINI


SHAH ALAM: Pengumuman Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali bahawa Kerajaan Negeri tidak memiliki salinan perjanjian penstrukturan semula air Selangor mengejutkan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ,Tony Pua, berkata hanya dengan memiliki salinan itu Kerajaan Negeri boleh membuat keputusan mengenai langkah seterusnya demi melindungi kepentingan rakyat .
MB air

Menurutnya tidak ada alasan keselamatan negeri untuk tidak mendedahkan kandungan perjanjian itu kerana ia dikatakan hanya meliputi langkah penstrukturan semula.

“Tidak masuk akal bagaimana seluruh kerajaan negeri termasuk ahli Exco di bawah pentadbiran Khalid Ibrahim langsung tidak tahu menahu kenapa kerajaan negeri tidak memiliki salinan perjanjian tersebut.

“Kami menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menyerahkan perjanjian tersebut dengan segera kepada Kerajaan Negeri supaya pihak negeri dapat mengetahui hak dan tanggungjawabnya,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan digesa untuk mendedahkan kandungan perjanjian tersebut, yang ditandatangani tiga minggu lalu sebelum Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar.

Katanya, beliau menyokong kenyataan Mohamed Azmin supaya perjanjian penstrukturan semula dengan Kerajaan Persekutuan didedahkan kepada orang awam.

“Adakah bekas menteri besar turut tersalah bawa perjanjian air yang penuh misteri itu ketika membungkus barang-barang peribadinya sebelum keluar dari pejabat MB?,” soalnya dalam yang hairan bahawa salinan perjanjian tersebut turut tidak disimpan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Perjanjian tersebut ditandatangani Abdul Khalid pada 12 September lalu dan dokumen berkenaan tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Semalam, Azmin mahu Kerajaan Negeri memohon kepada Kerajaan Persekutuan supaya perjanjian itu didedahkan umum dalam masa seminggu.EZY

Tiada ulasan: