Khamis, 9 Oktober 2014

Kerajaan sedar gagal letak harga siling getah

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Kerajaan menyedari gagal untuk meletakkan harga siling getah kerana harga pasaran komoditi itu ditentukan oleh pasaran dunia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata, harga getah ditentukan oleh pasaran dunia serta dipegaruhi oleh persepsi menyebabkan harga menurun.

"Mereka fikir stok kita masih banyak jadi mereka melambat-lambatkan pembelian kerana jangka harga akan lebih turun lagi," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu katanya, harga siling sukar ditentukan kerana wujudnya orang tengah yang turut memanipulasi harga getah.

Malah, katanya senario ini juga berlaku di negara jiran Thailand di mana mereka turut menyatakan masalah yang sama sehingga sukar untuk menetapkan harga siling.

"Saya ikuti persidangan di Thailand baru-baru ini mereka juga kemukakan soalan yang sama. Thailand juga negara yang paling banyak mengeluarkan susu getah," katanya.

Dalam soalan tambahan Ahli Parlimen Temerloh, Nasruddin Hassan menyatakan kebimbangan kepada nasib pekebun kecil yang sedang berdepan dengan kejatuhan harga getah.

"Apakah kerajaan tidak bersedia menentukan harga lantai yang munasabah iaitu RM4 sekilo kita tidak mahu masih ada penoreh mendapat untung bersih hanya RM2 sekilo," katanya.

Tambahnya, harga siling wajar ditentukan bagi memastikan pekebun kecil tidak menjadi mangsa kepada manipulasi harga oleh orang tengah.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz meminta Menteri berkenaan menyatakan sejauhmana penetapan harga getah yang tidak lagi bergantung kepada Panel Penasihat Harga namun akan ditetapkan sendiri oleh Lembaga Getah Malaysia mampu menstabilkan harga getah dan sekali gus membantu pekebun kecil di negara ini. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: