Jumaat, 3 Oktober 2014

Kenaikan harga petrol beri kesan kepada petani


RON95
 
 
KOTA BHARU - Kenaikan harga petrol dan diesel membebankan rakyat berikutan banyak pihak menjangkakan kenaikan kos pengangkutan, harga barang dan bahan mentah.

Penternak dari Kampung Chempaka, Darwis Ibrahim, 25, berkata, kenaikan harga petrol berkenaan boleh memberi kesan terhadap pengangkutan bahan makanan bagi haiwan ternakan.

“Dalam industri ternakan, saya menjangkakan kos makanan haiwan boleh meningkat dalam masa terdekat mungkin dalam tempoh dua minggu lagi berikutan ada kesan terhadap kos pengangkutan.

“Keadaan ini akan memberi kesan terhadap jualan haiwan ternakan dan saya mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan semula insentif pengeluaran ternakan,” katanya.

Darwis berkata, insentif itu penting bagi membolehkan penternak kurang terkesan dengan kenaikan harga petrol.

Katanya, biarpun sektor penternakan tidak dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), namun kesan berantai akibat kenaikan harga petrol berkenaan tetap ada seperti pembelian guni makanan haiwan.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Peranakan Cina Kelantan, Law Awang berkata, kenaikan harga petrol sebanyak 20 sen dikira membebankan rakyat golongan kurang berkemampuan.

“Kerajaan seharusnya berhati-hati dalam mengumumkan kenaikan harga petrol terutama pada musim perayaan kerana ia melibatkan pengangkutan, sekali gus ada pihak yang mengambil peluang untuk menaikkan harga barangan lain.

“Kita tidak boleh membandingkan harga petrol dengan negara lain kerana petrol digunakan semua golongan sama ada kaya atau miskin,” katanya.

Bagi Presiden badan bukan kerajaan (NGO) Royalti (R), Nazri Deraman berkata, kenaikan harga petrol ini mengejutkan dan tidak munasabah kerana Malaysia adalah negara pengeluar minyak.

Tiada ulasan: