Fatimah Abdullah Fatimah Abdullah
 
 
SIBU - Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah menasihatkan wanita yang didiagnos positif kanser payu dara supaya mengutamakan rawatan perubatan moden dan nasihat doktor daripada rawatan tradisional.
  
Beliau berkata, ini kerana rawatan tradisional belum lagi diuji keberkesanannya secara saintifik dan klinikal.
  
"Tetapi apabila rawatan tradisional itu tidak berkesan barulah mereka pergi kepada doktor dan ini mungkin sudah agak lewat.
  
"Kita sepatutnya tidak berlengah sebab bagi penyakit kanser, masa serta rawatan segera adalah sangat penting," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kempen "Ucap Selamat Tinggal Kepada Kanser Payu Dara" bagi negeri Sarawak anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Avon Cosmetic (M) Sdn Bhd di Butik Kecantikan Avon Kampung Dato di sini hari ini.

Fatimah berkata, sejak pelancaran kempen itu pada Mei 2007 sehingga 30 September tahun ini, seramai 28,043 wanita di Sarawak telah menjalani saringan mamogram dan 35 orang telah disahkan positif kanser payu dara.
  
"Saringan ujian ini sangat penting bagi membantu wanita mengesan kanser payu dara lebih awal dan membolehkan doktor melakukan rawatan-rawatan susulan dengan kadar segera," katanya. - Bernama