mahkamah
 
 
 
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan hari ini memberi kebenaran kepada Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) atau Borneo Evangelical Church untuk mengemukakan permohonan semakan kehakiman berhubung hak menggunakan kalimah ALLAH dalam semua penerbitan agamanya.

Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Datuk Rohana Yusuf sebulat suara membenarkan rayuan gereja itu untuk meneruskan prosiding permohonan semakan
kehakiman di Mahkamah Tinggi.

Beliau memutuskan gereja telah memenuhi syarat untuk mendapatkan kebenaran itu.

Hakim Rohana yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Datuk Abang Iskandar Abang Hashim mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan gereja bagi kebenaran itu.

Beliau menetapkan 16 Oktober bagi sebutan semula perkara itu di Mahkamah Tinggi. Berikutan keputusan itu, perkara itu dikembalikan semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran merit permohonan semakan kehakiman oleh gereja yang memohon perisytiharan bagi 12 perkara, termasuk hak gereja dan jemaahnya yang bertutur Bahasa Malaysia menggunakan kalimah ALLAH dalam Bible terjemahan Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia, dan semua penerbitan dan bahan bacaan lain agama itu.

Gereja itu juga memohon perisytiharan untuk mereka dibenar mengimport buku agama Kristian yang mengandungi kalimah ALLAH, dan hak gereja itu dan  jemaahnya untuk mengamalkan agama mereka.

Ia juga memohon perisytiharan bahawa keputusan kerajaan melarang penggunaan empat perkataan, ALLAH,  Baitullah, Solat dan Kaabah adalah salah di sisi Perlembangaan.
\Dalam keputusannya, Hakim Rohana berkata, keputusan Mahkamah dalam kes penerbitan mingguan Katolik 'The Herald' tidak lagi mengikat Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar kes gereja SIB.

Katanya, ini kerana Mahkamah Persekutuan telah mendengar kes itu dan memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kalimah ALLAH bukan perkara teras dalam kepercayaan agama Kristian, dianggap sebagai 'obiter' (pendapat tidak mengikat).

Pada 5 Mei tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof menolak permohonan gereja SIB bagi kebenaran mengemukakan semakan kehakiman, menyatakan Mahkamah Tinggi terikat oleh keputusan Mahkamah Rayuan bahawa kalimah ALLAH bukan perkara teras dalam pegangan agama Kristian.

Hakim Rohana berkata semakan kehakiman oleh gereja SIB adalah isu penting walaupun ia (gereja) telah menarik balik tuntutannya bagi perintah certiorari dan mandamus supaya dipulangkan semula buku agama kanak-kanak yang mengandungi kalimah ALLAH, yang digunakan untuk pendidikan agama di gereja it.

Buku berkenaan dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri pada 15 Ogos 2007 tetapi telah dipulangkan kepada gereja itu pada 25 Januari 2008.

Gereja itu dan presidennya Reverend Jerry W.A. Dusing @ Jerry W. Patel, memfailkan permohonan bagi kebenaran mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan pada 10 Disember 2007.

Terdahulu, peguam Lim Heng Seng berkata, keputusan Kementerian Dalam Negeri merangkumi dua bahagian; pertamanya, keputusan spesifik melarang pengimportan buku agama kanak-kanak dan keduanya keputusan umum melarang semua penerbitan lain menggunakan empat perkataan yang digunakan dalam agama Islam iaitu ALLAH, Baitullah, Solat dan Kaabah.

Beliau berkata, rampasan buku itu dilakukan susulan perintah dikeluarkan kementerian itu pada 1986 yang melarang penggunaan empat perkataan itu dalam penerbitan bukan Islam.

Lim berkata, pada hakikatnya keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang penggunaan kalimah ALLAH telah menjejaskan gereja itu dan ia mempunyai hak untuk memohon perisytiharan berhubung keputusan itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata, oleh kerana pihak gereja telah menarik balik tuntutannya bagi perintah certiorari dan mandamus, mereka tidak lagi boleh memohon perisytiharan itu kerana perkara pokok dalam kes itu tidak lagi wujud.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Dusing berkata beliau lega bahawa kebenaran itu diberikan tetapi berkata ia akan mengambil masa yang lama sambil menegaskan gereja hanya mahukan penyelesaian yang adil. - Bernama