Rabu, 15 Oktober 2014

Kalau urus tadbir baik MAS dapat diselamatkan

SALMIYAH HARUN 


KUALA LUMPUR: Sebelum penstrukturan semula MAS kerajaan disarankan agar mengambil langkah sewajarnya bagi membersihkan penyelewengan yang pernah berlaku dalam syarikat penerbangan negara itu.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, langkah itu perlu dilakukan bagi mengelakkan hutang misalnya oleh bekas Pengerusi MAS Tan Sri Tajuddin Ramli dapat diselesaikan.

"Apa yang kita bimbang, apabila kerajaan memutuskan syarikat baru ambil alih sudah tentu hutang lama akan kekal dalam syarikat lama," katanya ketika mencelah dalam perbahasan Bajet 2015 oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin di Dewan Rakyat hari ini.

Sudah tentu, katanya kerajaan akan menanggung kerugian yang lebih besar akibat salah urus tadbir tanpa menyelesaikan masalah lalu.

Walaupun katanya, Khazanah Nasional akan melaburkan sebanyak RM5.1 bilion dan dijangka akan menambah lagi dana sebanyak RM6 bilion belum tentu lagi MAS akan mendapat keuntungan di masa akan datang.

Sehubungan itu, Raja Kamarul Bahrin berkata, urus tadbir yang baik dan telus akan dapat menyelamatkan MAS tidak kira siapa yang mentadbir syarikat itu.

"Tidak kira orang dari mana bulan ke, Marikh ke...kalau urus tadbir baik MAS dapat diselamatkan," katanya ketika berbahas. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: