Rakaman CCTV sebuah bank di Bayan Baru merakamkan gelagat dua suspek dipercayai dari Amerika Latin cuba menggodam CPU ATM. Rakaman CCTV sebuah bank di Bayan Baru merakamkan gelagat dua suspek dipercayai dari Amerika Latin cuba menggodam CPU ATM.
 
 
GEORGETOWN - Cubaan dua lelaki warga asing yang mahu menggodam sebuah mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Jalan Tengah, Bayan Baru pada 25 September lalu gagal.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejadian jam 11.50 malam sehingga jam 12.50 malam itu dilakukan dua suspek dipercayai dari Amerika Latin.

Beliau berkata, polis percaya dua lelaki itu adalah ahli sindiket sama yang terlibat dalam kejadian menggodam beberapa ATM di Johor, Selangor dan Melaka bulan lalu.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu oleh kakitangan bank berkenaan kira-kira jam 9 malam kelmarin.

“Pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kedua-dua lelaki berkenaan cuba membuka bahagian atas ATM berkenaan dan menggodam unit pemprosesan komputer (CPU) mesin berkenaan namun gagal," katanya ketika ditemui media selepas program ‘High Profile Policing’ di Lorong Kulit di sini pagi semalam.

Sebelum ini media melaporkan, sindiket dianggotai warga Amerika Latin dipercayai menggodam wang berjumlah RM1.271 juta dari bank di Johor, Melaka dan Selangor.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, pihaknya akan meningkatkan pemantauan di semua bank di negeri ini terutama yang pernah digodam.