Jumaat, 10 Oktober 2014

Isu Uber: PERS1M akan lapor SPRM


SPAD digesa serah tanggungjawab pada PERS1M
 
 
SHAH ALAM - Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkhidmatan ‘teksi’ Uber.

Timbalan Pengerusinya, Kamarudin Mohd Hussain berkata, laporan tersebut akan dibuat bagi menguatkan lagi desakan terhadap pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas pihak yang mendalangi perkhidmatan tersebut.

Mengulas mengenai perincian laporan tersebut, Kamarudin menjelaskan, ia masih dalam proses perbincangan dan bakal didedahkan kelak.

“Sebelum ini, satu laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi memantau dan mengambil tindakan atas syarikat tersebut.

“Namun, jawapan yang kami terima amat mengecewakan. Menurut pihak SPAD, permasalahan ini bukan masalah mereka dan ia di luar bidang kuasa mereka,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam laporan berasingan, pihak PERS1M telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Sentul berhubung kewujudan perkhidmatan ‘teksi palsu’ tersebut, semalam.

Katanya, laporan tersebut dibuat bagi menggesa pihak berkuasa mengharamkan perkhidmatan Uber ke atas pelanggan yang menggunakan perkhidmatan awam seperti teksi.

Uber merupakan sebuah syarikat yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan menerusi aplikasi telefon pintar. Ditubuhkan pada 2009, ia menawarkan perkhidmatan di lebih 200 bandar raya di serata dunia.

Perkhidmatan ini mula memasuki pasaran Asia pada Februari pada tahun lepas di Singapura dan seterusnya di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas secara atas talian.

Bulan lalu, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, penggunaan kenderaan persendirian untuk mengambil penumpang adalah melanggar Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, yang boleh didenda tidak melebihi RM10,000, atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

[ARTIKEL BERKAITAN: Operasi buru pemilik 'teksi sapu' Uber mulai 1 Okt]

Mengulas perkara sama, Kamarudin menambah, pihaknya kini sedang mempertimbangkan cadangan penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, memorandum tersebut hanya akan diserahkan selepas membuat laporan kepada SPRM.
Namun katanya, ia masih dalam perancangan oleh PERS1M dan persatuan pemandu teksi yang lain.
“Saya percaya Perdana Menteri kita tidak tahu perkara sebenar mengenai perkhidmatan Uber. Hal ini patut lebih diperjelaskan lagi kepada beliau.

“Pihak berkenaan tidak bertanggungjawab untuk mengambil tindakan untuk menangani permasalahan ini. Kami rasa hal ini patut dibawa ke peringkat atasan supaya tindakan diambil dengan lebih cepat,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: