Sabtu, 11 Oktober 2014

Isu PKNS: PKR jamin penyelesaian sebelum 25 Oktober

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PKR berjanji satu 'penyelesaian terbaik' akan dilakukan parti itu terhadap bekas kakitangan anak syarikat kerajaan negeri yang pernah menjadi mangsa penganiayaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, pelantikan Azmin Ali dapat memberi harapan kepada golongan yang tidak bernasib baik itu untuk mendapat hak yang sepatutnya.
 
Malah ketika mengulas kontroversi pemecatan 22 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Holdings Sendirian Berhad, Abdullah menegaskan kesemua mereka akan menerima perkhabaran yang dianggap boleh melegakan mereka sebelum kes disebut di mahkamah kelak.
 
"Saya telah nyatakan kepada MB pada perjumpaan semalam, bahawa pekerja-pekerja di PKNS Holdings wajib diselesaikan sebelum didengari di mahkamah.
 
"Saya percaya sebelum 25 Oktober ini akan berlaku satu perkara yang menggembirakan semua pihak. Undang-undang didirikan untuk menyekat kezaliman, diskriminasi dan penganiayaan dari terus berlaku. Dan pada masa yang sama keadilan dapat ditegakkan," katanya kepada Antarapos baru-baru ini.
 
Pada 25 Oktober, PHSB dijadualkan perlu menjawab sebutan kes pemecatan yang dibawa bekas kakitangan tersebut sebelum didengari di Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) pada bulan hadapan.
 
Terdahulu, Antarapos mengatur satu pertemuan eksklusif antara Abdullah Sani yang juga Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) bersama jurucakap kepada bekas kakitangan PHSB, Datuk Seri Dr Alif Aiman Abdullah.
 
Ia rentetan harapan yang diberikan kesemua bekas kakitangan berkenaan yang dipecat pada awal tahun ini oleh Azmin.
 
Pertemuan yang diadakan selama 30 minit itu menyaksikan komitmen yang mahu ditunjukkan Azmin terhadap isu-isu pemecatan beberapa kakitangan anak syarikat kerajaan negeri yang lain, tegas Abdullah.
 
"Bukan sahaja mereka (bekas kakitangan PHSB), tetapi semua bekas kakitangan GLC yang dibuang. 
 
"Termasuk Norita Sidek (bekas Setiausaha Kerja PKNS) yang sebelum ini mempertahankan kedudukan bosnya ketika itu, mengikut undang-undang dasar PKNS, namun kemudian dikenakan tindakan tanpa ada ruang mempertahankan kedudukannya," tambah Abdullah.
 
Bekas pekerja PKNS dapat pembelaan
 
Ditanya apakah jenis pembelaan yang bakal dilakukan Azmin dan barisan kepimpinannya, Abdullah berkata:
 
"Sama ada kita 'reinstate' kedudukan mereka di dalam syarikat ataupun dengan membayar pampasan yang sepatutnya di dalam perjanjian. Sebabnya, jangan kita khianatinya dan dilihat sebagai sebuah kerajaan yang tidak bertanggungjawab kepada mereka.
 
"Kontrak mereka masih berbaki. Yang mereka hilang selama ini adalah bonus, kenaikan gaji tahunan, segala kelebihan dan keistimewaan yang ada di dalam kontrak perjanjian mereka," kata beliau dengan mengaitkan peruntukan perundangan di dalam PKNS melalui Seksyen 20.
 
Selain Azmin yang mempersetujui langkah pembelaan tersebut, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bertegas tidak akan berkompromi di dalam isu kebajikan bekas pekerja ini, tambah Abdullah.
 
Selepas diberikan penjelasan berkenaan, Dr Alif memberitahu lega dengan keprihatinan yang ditunjukkan Azmin terhadap kesemua bekas kakitangan anak syarikat kerajaan negeri.
 
Katanya, bukan nilai kebendaan yang dikejar, sebaliknya hak dan maruah mereka yang 'hilang' selama ini.
 
"Saya merasa sangat berterima kasih dengan beliau kerana komited untuk membantu kami. Jika tidak, harapan kami masih kabur. 
 
"Saya percaya keadilan akan muncul suatu hari ini, di mana kami akan berjaya," katanya penuh mengharap.
 
Selasa lalu, Antarapos menemubual Dr Alif untuk mengetahui perkembangan semasa mereka selepas dipecat lebih lapan bulan lalu.
 
Beliau mendakwa kesemua mereka mengharungi saat perit di dalam tempoh berkenaan, dengan kesukaran mendapat peluang pekerjaan dan ada di kalangan mereka masih trauma dan takut menghadapi realiti.
 
Dr Alif yang juga bekas pengurus pemasaran PKNS Holdings dan rakan-rakan adalah golongan profesional yang sarat dengan pengalaman bekerja di luar negara. Namun mereka memutuskan untuk kembali ke tanah air dan menyumbang kepada pembangunan Selangor. 
 
Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid ibrahim sebelum ini bertindak meluluskan pemecatan beramai-ramai itu atas alasan berlaku pertindihan kuasa. 
 
Bagaimanapun hal itu berkali-kali dinafikan Dr Alif dengan berkata jawatan yang dikosongkan beliau dan rakan-rakan sehingga kini wujud dan tidak dimansuhkan PKNS mahupun PKNS Holdings.

Tiada ulasan: