Khamis, 9 Oktober 2014

Isu 'keistimewaan' pinjaman Deepak tidak dijawab

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah enggan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengenai keistimewaan yang diberikan kepada ahli perniagaan Deepak Jaikishan.

Mahfuz yang bangkit ketika Ahmad Bashah membuat penggulungan pindaan Rang Undang Undang (RUU) Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 itu meminta penjelasan kerajaan adakah keistimewaan turut diberikan kepada peminjam yang mengalami masalah untuk membayar balik pinjaman.

"Saya hendak tahu adakah pertimbangan ini diberikan kepada semua peminjam yang mempunyai masalah untuk membayar balik pinjaman atau keistimewaan ini hanya diberikan kepada Deepak sahaja.

"Adakah kerajaan memberi kelonggaran kepada peminjam untuk menstruktur semula hutang peminjam seperti yang Deepak perolehi, bayar melalui cek tertunda dengan struktur hutang yang baru," soal beliau pada sidang Parlimen pagi tadi.

Ahmad Bashah yang enggan menjawab pertanyaan tersebut dengan menyatakan ia akan memberi jawapan kemudian.

Tindakan tersebut menimbulkan rasa tidak puas hati Mahfuz yang memberitahu pertanyaan tersebut telah dibangkitkan semalam ketika sesi perbahasan RUU itu.

"Semua itu soalan semalam kenapa tidak mahu jawab, banyak masa yang ada dan saya tahu pegawai-pegawai kerajaan telah ambil nota tentang apa yang dibangkitkan.

"Bila semua cincai ini yang berlaku, kerajaan kena jawab bukan berdalih," sambung beliau lagi. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: