Khamis, 2 Oktober 2014

Harga Minyak Naik: Pelbagai Cara Rakyat Luahkan Kemarahan

KELAB GREENBOC



 

Pelbagai cara rakyat luahkan kemarahan akibat pengumuman kenaikan harga minyak oleh kerajaan semalam. Baca dan tengoklah:

PANTUN SELOKA MINYAK NAIK 20 SEN SAJA

Minyak naik 20 sen saja,
Tapi rakyat hidup menderita,
Nak jimatkan duit di mana,
Kalau barang semuanya naik belaka.

Minyak naik 20 sen saja,
Tapi kerajaan jangan lupa,
Elaun menteri kena potong juga,
Barulah adil sama-sama.

Minyak naik 20 sen saja,
Tetap kena bayar juga,
Walaupun belanjawan belum tiba,
Tak semena-mena naik tak diduga.

Minyak naik 20 sen saja,
Kata menteri tahun ini tak naik la..
Ini dikira tipu rakyat jelata,
Rakyat didahulukan kena slogannya.

Minyak naik 20 sen saja,
Tapi kehidupan kena terus juga,
Takkan nak makan batu pula,
Segala belanja kena jimat sentiasa.

Minyak naik 20 sen saja,
Rakyat kenalah perlu biasa,
Jika nak membantah siapalah kita,
Tetap mencari rezeki untuk keluarga.

Minyak naik 20 sen saja,
Tapi banyak juga jika dikira,
Itu dihitung 1 liter cuma,
Jika 10 liter berapa jadinya.

Minyak naik 20 sen saja,
Makan dan minum kena jaga,
Jangan mewah dengan harta,
Lama-lama boleh kurang juga.

Minyak naik 20 sen saja,
Berdoa pada Yang Maha Berkuasa,
Semoga dimurahkan rezeki sentiasa,
Agar diberkati dan dirahmati hendakNya.


SELOKA HARGA MINYAK

Umpama timun hendaknya
Melanggar kami terluka
Dilanggar kami cedera
Tapi itulah nasib kami yang hina

Tanpa elaun seperti menteri
Makan bayar sendiri
Kereta pandu sendiri
Minyak isi sendiri
Jalan sesak kami hadap setiap hari

Mudah pula tuan berkata
Jangan makan bila ayam naik harga
Jangan minum manis bila naik harga gula
Jangan guna jalan jika tol naik berganda
Pindah ke negara lain jika tak suka Malaysia

Kami umpama kain basahan
Tuan perah habis habisan
Akhirnya kami kekeringan
Merana kami tuan kesenangan

Duit sejemput kami diperas hingga rabak
Gaji tuan sedikit pun tak boleh ditolak
Diusul kami tuan amuk sampai koyak
Kami senyum lihat tuan makin menggalak

Tak mengapalah tuan
Kami terima segala ketentuan
Cuma ingat pesan Tuhan
Setiap perkara ada balasan
Nasib tuan belum ketahuan

Tuan jangan lupa
Kami manusia biasa
Sabar kami ada tahapnya
Luka kecil boleh menjadi nanah juga
Jangan sampai menjadi barah pula
Cukuplah tuan menyeksa
Cukuplah tuan buat kami merana

Kuasa tuan dari kami
Naiknya tuan dari kami
Jatuhnya tuan juga dari kami.




Tiada ulasan: