POLITIK selalu dibayangkan sebagai suatu alat untuk menaikkan satu-satu kumpulan manusia berparti dan menjatuhkan kumpulan lain. Alasan untuk menaikkan kumpulan A dan menjatuhkan kumpulan B tidak selalu jelas, malah kerap beremosi. Selain itu, alasan selalunya direka-reka. Sebagai contoh, ketika menaikkan seseorang ke tahap menteri besar, dikatakan orang itu amat bagus dalam hal ekonomi dan pentadbiran, manakala ketika mahu menjatuhkannya akan dikatakan orang yang sama mengutamakan kroni.

Gambaran di atas tentulah jelas di mata rakyat Malaysia. Jika kita pergi lebih jauh ke belakang, kita akan faham dengan lebih jelas. Orang yang mengetuai pembangkang Malaysia pada masa ini, ialah orang yang menjadi tokoh nombor dua dalam kerajaan pada masa lalu. Tokoh ini berjaya mengajak rakyat mencintai parti kerajaan untuk selama 16 tahun, iaitu bermula pada 1982 hingga 1998. Beliau bukan saja amat menyayangi parti kerajaan, malah berjaya menjadi orang nombor dua parti itu.

Bagi rakyat ‘terhasut’, segi ini amat sukar difikirkan dengan tenang. Perkataan terhasut dalam konteks ini bukanlah berkaitan hasutan yang ada dalam Akta Hasutan, tetapi ‘hasutan’ dalam bentuk memperlekeh pihak lain secara yang melampau hingga menimbulkan kebencian. Jika Umno mengatakan Pas ialah parti pemfitnah misalnya, itu ialah hasutan kerana imej Pas dijatuhkan dengan sifat itu.

Demikian juga jika Pas mengatakan Umno ialah parti yang bertentangan dengan Islam. Tidak mungkin Umno anti-Islam.

Apabila PKR ditubuhkan, hasutan bertambah-tambah, kerana Umno dianggap perampas, hipokrit dan pelbagai gelaran lagi. Jika orang yang membuat tuduhan itu dulunya pemimpin Umno, maka tuduhan itu lebih-lebihlah tidak patut. PKR pula dituduh penderhaka bangsa. Ini pun satu tuduhan yang tidak wajar juga. PKR hanyalah parti biasa, sama seperti Semangat 46, Hamim dan lain-lain, cuma Ketua Umum PKR bijak berpidato, hingga menyebabkan beliau jadi terlalu membimbangkan.

Gambaran politik Malaysia akan lebih terang apabila parti-parti MCA, DAP, MIC, Gerakan dan beberapa lagi diberi perhatian. Jumlah parti dalam BN kini sudah cukup banyak. Secara sedar atau tidak, peniruan gabungan BN dilakukan oleh tiga parti pembangkang, iaitu Pas, PKR dan DAP.

Kita dapati dalam PKR ada sejumlah kecil orang bukan Melayu, dan dalam DAP ada sejumlah kecil orang Melayu. Kedua-dua parti itu dari segi praktiknya berasaskan kaum, tetapi dalam perlembagaannya tidak demikian. Parti-parti itu bukan untuk satu-satu kaum. Terpulanglah kepada rakyat sama ada mahu menyokong DAP yang dari segi sejarahnya berakarkan PAP. Seterusnya terpulang kepada rakyat untuk menyokong Pas yang berkeras memperjuangkan hukum hudud.

Apabila pilihan raya akan dilaksanakan, semua parti akan berjanji, melalui manifesto. Rakyat akan memilih parti yang disukainya berdasarkan manifesto masing-masing. Pada masa itu, pelbagai tuduhan mula dilemparkan. Ada pihak yang mengatakan undi hantu bermaharajalela, ada yang mengatakan dakwat kekal sebenarnya tidak kekal, dan pelbagai perkara yang dapat mencacatkan pilihan raya.  Perkara ini bukannya tiada kemungkinan berlaku, tetapi jika sesebuah parti itu kuat betul, usaha manipulasi melalui undi hantu dan dakwat boleh padam akan sia-sia saja.

Bukti kenyataan di atas ialah kekalahan Umno di Terengganu pada 1999, dan di Kedah 2008. Tidak perlu dibisingkan undi hantu dan pelbagai cara penipuan, kerana jika sesuatu parti itu kuat betul, kemenangan akan berpihak kepadanya. Saya kira, dapat dikatakan, kebisingan dan kehebohan hanyalah cara gaya untuk membawa pilihan raya ke arah ketidakpercayaan rakyat.

Bukanlah tujuan makalah ini untuk membiarkan penipuan, jika ada. Saya sebenarnya ingin memaparkan keindahan demokrasi dan kelangsungan cara memilih parti dan pemimpin. Dalam politik kita, Umno, MCA dan MIC telah terbukti dapat berbaik-baik dalam jangka masa panjang. Pas, DAP dan PKR juga berbaik-baik, cuma ada beberapa masalah yang sukar dipersetujui, kerana ketiga-tiga parti itu terlalu berbeza: ada sosialis, ada liberal dan ada yang kukuh segi keagamaannya.

*Datuk Rahman Shaari penerima Sea Write Award daripada Kerajaan Thailand (2007), dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.