Sabtu, 4 Oktober 2014

Dedah kesalahan Khalid bukan kerja MB, kata Umno Selangor

Oleh Mageda Muda Mohd Nor
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Umno Selangor meminta Menteri Besar Mohamed Azmin Ali tidak membuang masa dengan hanya 'membongkar' kesalahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Sebaliknya Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Shukur Idrus berkata, adalah lebih baik Azmin memastikan pembangunan berterusan dan menjaga kebajikan rakyat negeri.  
 
"Tetapi ini yang sedang dibuat oleh Azmin, iaitu menyerang pentadbiran Menteri Besar terdahulu.
 
"Rakyat Selangor tidak mahu ini semua, tugas Menteri Besar ialah memajukan negeri," katanya ketika dihubungi hari ini.
 
Malah katanya Azmin perlu menyerahkan kepada agensi kerajaan negeri untuk menyiasat tentang kepincangan pentadbiran Khalid. 
 
Sehubungan dengan itu beliau mengingatkan Azmin, bahawa Rakyat tidak mahu Menteri Besar yang boleh dicucuk hidung oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tindak tanduk menguruskan negeri Selangor.
 
Justeru sudah tiba masanya bagi Azmin keluar daripada bayangan Ketua Umum PKR itu dengan menunjukkan kewibawaan sendiri.
 
"Tunjukkan kepada Anwar bahawa pilihan awal tidak melantik Azmi adalah satu tindakan yang salah.
 
"Azmin perlu buktikan beliau boleh menjadi Menteri Besar Selangor yang paling hebat," katanya.
 
Kata Shukor, Azmin mesti keluar dan bebas dari belenggu Anwar sebagaimana yang berlaku sekarang.
 
Antara yang akan didedahkan Azmin ialah perjanjian air dan lebuh raya Kidex yang dibuat semasa pentadbiran Khalid.
 
Terdahulu Anwar mengumumkan Azmin akan mendedahkan pihak yang mendapat keuntungan semasa Khalid menjadi Menteri Besar Selangor dari 2008 hingga 2014.
 
PKR mulanya mencalonkan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid yang dipecat.
 
Bagaimanapun, Sultan Selangor sebaliknya memilih Azmin sebagai Menteri Besar.

Tiada ulasan: