Khamis, 9 Oktober 2014

CFM berang dengan jawapan Nancy

MALAYSIAKINI


 


Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) berang dengan pengumuman kerajaan bahawa ancaman untuk membakar Bible bukan satu jenayah kerana ia dilakukan demi mempertahankan Islam.

Pengerusi CFM, Eu Hong Seng dalam kenyataannya berkata, pengumuman itu memberi “kebebasan penuh” kepada golongan ekstremis untuk terus memberi ancaman kepada orang Kristian atau mana-mana penganut fahaman lain.

“CFM berpendapat bahawa kedudukan ini sangat tidak bertanggungjawab kerana ia memberi kuasa penuh atau kebebasan penuh kepada ekstremis lain untuk mengambil tindakan serupa, bukan saja pada Kristian tetapi mana-mana kumpulan agama yang bukan Islam,” katanya.

Katanya, alasan menteri kabinet berhubung tindakan ganas itu tidak boleh dijelaskan mengikut apa-apa logik, kewajaran atau keadaan.

“Kami membantah dengan keras kedudukan yang jelas tidak boleh dipertahan oleh kerajaan,” katanya lagi yang meminta para MP mengemukakan usul untuk menegur menteri di jabatan perdana menteri, Nancy Shukri atas kenyataan tersebut.

Ia berhubung penjelasan Nancy dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam mengenai tindakan ke atas presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berhubung seruan pada orang Islam untuk “merampas” dan “membakar” naskhah Bible berbahasa Melayu.

Nancy semalam menjelaskan tiada tindakan pendakwaan akan diambil terhadap Ibrahim kerana bekas MP tersebut "hanya mempertahankan kesucian agama Islam".

"Kenyataan yang dibuat oleh beliau tersebut tidak berniat untuk menimbulkan kekecohan agama tetapi hanya untuk mempertahankan kesucian agama Islam

"Oleh yang demikian, tiada pendakwaan dilakukan," kata Nancy.

Menurutnya, kata-kata yang diucapkan oleh Ibrahim ditujukan kepada individu yang telah mengedar naskhah Bible mengandungi kalimah Allah dan juga tulisan Jawi kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong, Pulau Pinang, termasuk pelajar Melayu.

Tiada ulasan: