Jumaat, 10 Oktober 2014

Boros punca ketagihan ‘bajet tambahan’

 
Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan 'tidak pernah gagal' memohon 'bajet tambahan' setiap tahun sejak 2009.


Najib PutrajayaPETALING JAYA : Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar berhenti membelanjakan sumber pendapatan dan kekayaan negara dengan cara boros, cuai, tidak telus dan tidak bertanggungjawab.

Beliau mendakwa, Najib yang juga merupakan Menteri Kewangan ‘tidak pernah gagal’ memohon ‘bajet tambahan’ setiap tahun sejak 2009.

“Saya boleh memahami keperluan YB (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk memohon bajet tambahan sejak tahun 2009 disebabkan krisis ekonomi.

“Negara memerlukan berbelanja secara ‘suntikan fiskal’ untuk mengepam ekonomi dalam keadaan ekonomi meleset sesuai dengan konsep ekonomi ‘counter-cyclical’ berdasakan teori Keynesian,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas sesi pembentangan Bajet 2015 yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang ini.

Dzulkefly berkata, ‘kesedapan dan ‘ketagihan’ memohon ‘bajet tambahan’ sekurang-kurangnya dua kali setahun sehingga kini telah mencecah hampir RM20 billion setiap tahun.

“Hentikan tabiat ini..Stop the overspending!. Bila pungutan cukai lebih baik dari ramalan, YB dan kabinet, memohon ‘tambahan’ kerana tidak menampakkan defisit fiskal (nisbah KDNK) yang lebih tinggi sebab ‘pungutan cukai lebih baik’ kononnya.

“Trik lama ini YB dan PM UMNO-BN dahulu telah lama guna. Tetapi YBlah yang paling ‘cemerlang’ dalam penggunaan kaedah ini! Ya, rakyat tidak tahu! Tetapi kami Pakatan Rakyat tahu!,” katanya.

Beliau menambah, penambahan dan pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) adalah perkara yang bukan rakyat nantikan.

“Tetapi yang dimahukan dan dihajati rakyat adalah segala sumber khazanah serta aset negara ini diurus-tadbir dengan penuh amanah dan kebertanggungjawaban.

“Birokrasi pengurusan negara serta sistem penghantarannya mesti bebas rasuah, ketirisan dan kebocoran dari atas sehingga ke bawah,” katanya.

Tiada ulasan: