Sabtu, 25 Oktober 2014

Bajet 2015 ‘meragukan’

 
Kerajaan Pusat sepatutnya memberi peruntukan yang lebih besar kepada negeri ini, berdasarkan keperluan mendesak di kawasan pedalaman Sarawak.

Budget2015


KUCHING: Peruntukan untuk pembangunan kawasan luar bandar yang dibentangkan dalam Bajet 2015 baru-­baru ini, dilihat kurang berkesan untuk meningkatkan taraf ekonomi rakyat luar bandar di Sarawak.

ADUN Semop merangkap Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Sarawak Abdullah Saidol berkata kerajaan Pusat sepatutnya memberi peruntukan yang lebih besar kepada negeri ini, berdasarkan keperluan mendesak di kawasan pedalaman Sarawak.

“Secara peribadi saya kurang berpuas hati dengan Bajet 2015 kerana jumlah yang diperuntukan untuk membangunkan kawasan luar bandar agak kecil berbanding jangkaan awal.

“Dengan Bajet 2015 yang agak sedikit dan ditambah lagi dengan pengurangan subsidi minyak petrol, kami selaku wakil rakyat luar bandar bimbang keadaan ini akan menjejaskan sokongan rakyat pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Portal Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini, semalam.

Abdullah memberitahu, beliau ‘curiga’ mengapa pengumuman penting seperti rasionalisasi pengurangan subsidi minyak petrol dibuat ketika Sarawak hendak berdepan dengan bahang PRN.

“Peningkatan kos hidup berikutan kenaikan harga barang yang dipengaruhi oleh pengurangan subsidi minyak petrol secara tidak langsung akan membebankan rakyat luar bandar,” jelasnya.

Katanya bantuan BR1M RM900 yang diagihkan oleh kerajaan BN adalah lebih baik kalau ditukar nilainya untuk membangunkan infrastruktur di kawasan luar bandar.

“Sebagai contoh, kawasan DUN Semop memerlukan banyak lagi kemudahan infrastruktur asas seperti elektrik, bekalan air bersih dan jalan raya,” katanya sambil menambah, wang BR1M hanya boleh dibelanja dalam tempoh singkat berbanding jika digunakan untuk membiayai projek pembangunan luar bandar.

Tiada ulasan: