Sabtu, 11 Oktober 2014

Acara 'Oktoberfest' di Jonker Walk dipantau

SINAR HARIAN


Idris Haron Idris Haron
 
 
MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka akan menempatkan pegawai penguat kuasa bagi menghalang umat Islam daripada meminum arak pada acara 'Oktoberfest' dijangka berlangsung di Jonker Walk di sini, pada 18 Oktober ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata tindakan tegas akan diambil terhadap orang Islam yang didapati meminum arak pada acara berkenaan.

"Saya beri jaminan yang kita akan pastikan orang Islam tidak akan dibenarkan minum arak di sana dan akan bertindak tegas sekiranya menerima laporan yang menyatakan demikian," katanya kepada pemberita selepas istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran sempena hari jadi Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob ke-76 di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri tidak dapat menghalang orang bukan Islam untuk meminum arak pada acara tersebut kerana tiada peruntukan undang-undang yang melarang perbuatan itu.

Mengenai kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Melaka, Zulkifli Ismail Muhammad semalam yang meminta kerajaan negeri mengambil langkah menghalang penganjuran pesta arak Oktoberfest itu, Idris berkata "saya tidak tahu di mana yang dikatakan pesta arak".

Beliau berkata pengisian program tersebut dilihat bertujuan menggalakkan pelancong dari luar negara untuk datang ke Melaka.

Idris berkata pemimpin dan penyokong Pas perlu berfikiran terbuka ketika hidup dalam masyarakat majmuk dengan mengambil semangat 'untuk mereka agama mereka dan untuk kita agama kita'. - Bernama

Tiada ulasan: