Isnin, 19 Mei 2014

Wanita DAP minta Shahrizat cermin diri


HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menghamburkan pelbagai tuduhan kepada calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Teluk Intan membuktikan pembunuhan karektor (character assassination) masih menjadi modus operandi Umno-BN untuk mengekalkan kuasa.

Ahli Parliamen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto  dalam satu kenyataan media berkata, sebahagian besar rakyat negara ini pastinya tidak menyenangi kata-kata kesat yang dihamburkan oleh Shahrizat yang semata-mata mahu menunjukkan kesetiaan kepada ‘tangan yang menyuap beliau’.

Menurut Kasthuri, tuduhan Sharizat kononnya beliau bersimpati kepada calon DAP PRK Teluk Intan, Dyana Sofya kerana “menjadi alat dan boneka DAP” sekali lagi membuktikan pemimpin BN gemar mengeluarkan kenyataan lucu.

“Sebenarnya bukan Sharizat yang perlu bersimpati kepada Dyana malah rakyat Malaysia seharusnya bersimpati kepada Shahrizat dan menyatakan belas kasihan kerana beliau telah digugurkan sebagai calon pilihan raya umum ke-13 tahun lalu,” tingkah Kasthuri.

Beliau menambah, Shahrizat seharusnya mengingati tarikh 8 April 2012 apabila beliau meletakkan jawatan sebagai senator dan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

“Hakikatnya Shahrizat bukan menjadi aset malah bebanan kepada Umno-BN, tidak mempunyai kualiti kepimpinan dan  terbabit dalam salah satu skandal terbesar negara namun kemudian kembali menjawat jawatan kerajaan,” kata Kasthuri.

Beliau mempersoalkan mengapa Shahrizat tidak terpilih sebagai calon dalam PRU lalu atau diberi peluang untuk bertanding.

Setelah kalah di Lembah Pantai pada PRU 2008 di tangan calon muda Nurul Izzah Anwar, beliau telah dilantik penasihat khas kepada Perdana Menteri bagi wanita, keluarga dan hal ehwal pembangunan sosial.

Shahrizat kemudian dilantik sebagai Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat setelah Datuk Seri Najib mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri  Abdullah Ahmad Badawi.

Ironinya perlantikan Shahrizat ke jawatan menteri dibuat sehari selepas mengangkat sumpah sebagai senator.

Kasthuri mempersoalkan jawatan penasihat khas dan menteri kabinet yang disandang Sharizat sedangkan beliau ternyata tewas dalam PRU12 yang menggambarkan pilihan sebenar rakyat.

Menurut beliau, jika pemilihan Shahrizat ini adalah satu bentuk transformasi pentadbiran Najib, ini menggambarkan tahap keutamaan Perdana Menteri dalam membela seseorang yang kehilangan mandat rakyat.

Beliau turut mempersoalkan pemilihan semula Shahrizat sebagai penasihat khas dalam penggal pentadbiran baru Najib sedangkan Ketua Wanita Umno itu tidak langsung tersenarai sebagai calon BN pada PRU13 lalu.

“Sebagai penasihat khas untuk memantau pembangunan usahawan dan profesional wanita dengan gaji RM 27,227.20 sebulan atau RM 326,726.40 setahun bersama dengan lain-lain penasihat khas yang menelan belanja RM1.63 juta, mungkin perumpamaan paling sesuai untuk beliau adalah muka tak malu, syok sendiri dan tak sedar diri,” ujar Kasthuri sinis.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan tindakan Shahrizat yang mendapat imbuhan besar sebagai penasihat khas dengan wang rakyat namun berani menggelarkan Dyana Sofya sebagai 'alat' dan 'boneka'.

Menurut Kasthuri, Dyana tidak perlu ‘menyelak kain’ atau menggunakan kata kesat seperti ‘bangsat’ untuk mendapatkan kepercayaan dan penghormatan rakyat.

“Dyana Sofya seorang yang bersih, orang muda yang dihormati. Sebagai rakyat Malaysia, kita tidak akan bertolak ansur dengan kata nista yang dihamburkan terhadap beliau apatah lagi apabila ia diucapkan oleh seseorang yang mahukan perhatian dan mahu memperlihatkan sikap terhutang budi kepada orang yang menyuapnya,” ujar Kasthuri.

Tiada ulasan: