Jumaat, 9 Mei 2014

Tolong diam, kenyataan anda menyakiti negara, kata Dr Mahathir kepada Isma

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad bercakap kepada wartawan semasa sidang media selepas melancarkan buku 'Reminiscences of Insurrection - Malaysia's Battle against Terrorism 1960-1990' di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 9 Mei, 2014. Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad bercakap kepada wartawan semasa sidang media selepas melancarkan buku 'Reminiscences of Insurrection - Malaysia's Battle against Terrorism 1960-1990' di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari


 Beberapa hari selepas Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) terus-menerus menyerang bukan Melayu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan mereka patut berhenti membuat bising.

Bekas perdana menteri itu berkata kenyataan daripada pemimpin Isma tidak konstruktif.

Kenyataan Dr Mahathir itu sebagai tindak balas kepada Isma yang melabelkan kaum Cina sebagai 'penceroboh' dan menggesa agar hukum hudud dikenakan kepada semua rakyat Malaysia dan bukan sahaja umat Islam.

"Dia sepatutnya simpan sahaja pandangannya. Mereka tidak membantu keadaan negara ini," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku Reminiscences of Insurrection: Malaysia's Battle against Terrorism 1960-1990 oleh Leftenan Kolonel Mohd Azzam Mohd Hanif Ghows hari ini.

Dr Mahathir berkata kenyataan Isma tidak membantu mengekalkan keamanan negara, dengan menambah, kaum Cina juga adalah rakyat Malaysia dan mempunyai hak mereka sendiri.

"Kita tidak perlukan sesiapa untuk menghasut supaya berlaku rusuhan kaum dan perkara sebegitu," katanya.

Tentang cadangan terbaru Isma bahawa hudud perlu dikenakan bagi umat Islam dan bukan Islam, perdana menteri paling lama Malaysia itu menyuruh Isma itu supaya 'mematuhi Al-Quran'.

"Jika dia sudah membaca Al-Quran dengan teliti, ia mengatakan Tuhan tidak menyukai mereka yang menghasut supaya berlaku huru-hara atau kekacauan.

"Jadi dia patut mematuhi Al-Quran," kata Dr Mahathir menjawab kenyataan presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman yang mengatakan undang-undang jenayah Islam itu patut dikenakan kepada semua rakyat Malaysia.

Beliau juga berkata mereka yang menyebabkan ketegangan antara agama merupakan mereka tidak belajar daripada sejarah.

"Mereka tidak belajar daripada sejarah. Tiada manfaatnya menyebabkan ketegangan, konfrontasi dan ketidakstabilan. Mengapa kita perlu bergaduh? Kita saling menyakiti satu sama lain dan akhirnya apa yang kita dapat?"

Beliau berkata Datuk Seri Najib Razak kini dalam situasi yang sukar untuk meredakan ketegangan agama yang semakin meningkat.

"Beliau sedang cuba melakukan tugasnya dengan baik tetapi situasi ini sukar. Anda (pengundi) tidak berikannya mandat yang cukup kuat," katanya, merujuk kepada keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) di mana kerajaan memerintah Barisan Nasional menang dengan majoriti mudah.

"Anda mahukan liberalisasi, dan apabila kami sudah liberal, ia disalah gunakannya. Jika anda ambil tindakan, kami dituduh sebagai tidak liberal pula." tambahnya

Tiada ulasan: