Isnin, 26 Mei 2014

Teluk Intan: PAS 'all out' tarik undi Melayu

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR


TELUK INTAN: PAS melahirkan keyakinan undi daripada orang Melayu terhadap calon Pakatan Rakyat akan meningkat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan 31 Mei ini.

Timbalan Pengarah Operasi Induk PAS PRK Teluk Intan, Salman Saleh berkata, keyakinan itu disuarakan berdasarkan respon daripada pengundi kepada jentera PAS yang turun ke lapangan.

Menurutnya, jentera diberi reaksi positif oleh para pengundi ketika berkempen dari rumah ke rumah khususnya di kawasan majoriti melayu seperti Kampung Bahagia dan Kampung Changkat Jong.

"Kami sudah kenalpasti strategi dan isu-isu yang sangat berkesan serta dekat dengan hati pengundi," katanya ketika ditemui di Markas Induk PAS, Padang Tembak dekat sini hari ini.

Menurut beliau, Pakatan Rakyat turun di Teluk Intan sebagai 'underdog' dan sedang berusaha keras memastikan calon dari DAP, Dyana Sofya menang pada PRK kali ini.

Jelas Salman, PAS sendiri melalui jentera muslimat turun rumah ke rumah merayu undi dan dalam masa yang sama memberikan penerangan tentang isu-isu semasa.

Setiap malam, PAS katanya akan menyusun ceramah umum disetiap UPU dengan menampilkan pimpinan-pimpinan PAS peringkat negeri dan pusat.

"Kami telah turunkan jentera secara 'all out' bagi memastikan kemenangan di parlimen Teluk Intan dapat dikekalkan serta dijayakan keputusannya.

"Saya sangat berpuas hati dengan semangat jentera dari seluruh negara yang tidak putus-putus datang membantu," jelasnya.

Tiada ulasan: