Sabtu, 10 Mei 2014

Tak salah bersifat asabiyah, kata Isma

Presidennya, Abdullah Zaik Abdul Rahman menyamakan semangat asabiyah dengan perpaduan umat Islam.
Abdullah Zaik Abdul Rahman

PETALING JAYA:  Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendakwa tidak menjadi kesalahan untuk menerapkan kenyataan yang bersifat asabiyah.

“Semangat asabiyah tak salah jika diterapkan.  Asabiyah yang memberikan ketuanan pada tuan tanah mesti diiktiraf.

“Dalam konteks lebih besar, kita masyarakat Melayu kembali pada Islam dan menegakkan syiar Islam,” kata Presiden Isma, Abdullah Zaik Abdul Rahman ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diberitahu bahawa kenyataan Isma berbaur semangat asabiyah seperti Klu Klux Klan di Amerika Syarikat.

Semakan di dalam Al-Quran menunjukkan sebaliknya.

Surah al-Hujurat ayat 13:  Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahuai, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Abdullah turut mengulas berkenaan tindakan Jakim yang mengeluarkan khutbah Jumaat yang ‘meraikan’ sambutan Hari Ibu semalam.  Khutbah tersebut bertajuk “Ibu di Hati, Syurga Menanti”.
“Masyarakat dibiasakan tanpa sedar, dan menyerap budaya asing tanpa disedari,” kata Abdullah.

Beliau menambah bahawa ada kemungkinan Jakim kurang sensitif terhadap aspek budaya dan lebih menekankan aspek agama sahaja.

Abdullah turut ditanya mengenai susur galur keturunannya namun beliau enggan menjawab secara terperinci.

Beliau hanya menyatakan bahawa beliau berasal dari Terengganu.

Tiada ulasan: