Rabu, 14 Mei 2014

PRK Bukit Gelugor: Sokongan DUN Air Itam ‘solid’ untuk calon DAP, Ramkarpal


_DSC4876


AIR ITAM – Kalau diukur daripada sambutan rakyat Air Itam kepada calon DAP-Pakatan untuk pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, pagi ini, beliau kelihatan akan menang bergaya pada 25 Mei nanti.

Pasar Air Itam memang merupakan tempat rakyat daerah ini berkumpul saban hari untuk membeli barang-barang keperluan, maka Ram memulakan sesi suai-kenal bersama pengundi Bukit Gelugor di sini seawal jam 8 pagi.

Rata-rata peniaga dan pengunjung pasar serta kawasan sekitarnya sudah kenal betul dengan anak ketiga mendiang Karpal Singh ini.

Mereka bersalaman dan bertegur seperti kawan-kawan lama.

Ram turut mencuba membuat apam balik di sebuah gerai yang terletak di simpang masuk Masjid Jamek Paya Terubong. Tuan kedai turut memimpin tangan peguam bujang berusia 38 tahun ini.

Sesi melawat kawasan hari ini turut disertai Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Tanjong Chow Kon Yeow, Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari serta Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong.

Lazimi kopitiam kegemaran mendiang Karpal

Selesai sesi bertemu pengundi, Ram mengimbau kenangan bersama mendiang ayahnya yang sentiasa pulang ke kawasan dan mengadakan sidang media di kopitiam Joo Huat.

“Di sinilah ayah saya biasanya mengadakan sidang media setiap hujung minggu.

“Dua hari lalu saya bertemu tuan punya kedai dan beliau bersetuju untuk membenarkan kami meneruskan kelaziman tersebut, sekiranya DAP terus menang,” ujarnya kepada media.

Ram turut berkata bahawa pasar Air Itam ini membuatkan beliau berasa seperti balik kampung, dan beliau begitu selesa sekali di kawasan itu.

“Mendiang ayah saya suka sekali datang ke sini pada hujung minggu, sarapan dan kemudian mengadakan sidang media,” tambah beliau, sambil berharap supaya memori dan tradisi tokoh DAP itu dapat diteruskan olehnya.

Ram turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan DAP yang ikut serta dan memperlihatkan bahawa Air Itam benar-benar memberikan sokongan padu dan hampir mustahil ditembusi oleh pihak lawan.

Kawasan DUN Air Itam yang terletak di bawah Parlimen Bukit Gelugor diwakili ADUN DAP Wong Hon Wai. Dua lagi kawasan DUN ialah Sri Delima dan Paya Terubong, yang turut dimenangi DAP dalam PRU ke-13.

Pun begitu Ram tidak meninggi diri. Ditanya media siapakah antara tiga calon yang menentangnya itu yang dirasakan paling memberi ancaman, Ram berkata bahawa beliau tidak mendiskriminasi pihak lawan.

“Semuanya sama sahaja,” kata beliau sambil menambah bahawa beliau tetap berjaga-jaga dengan ancaman tidak langsung Barisan Nasional yang telah mengaku akan memberikan sokongan kepada calon bebas.

Ram akan berentap dalam perlawanan empat penjuru menentang seorang calon daripada Parti Cinta Malaysia dan dua calon bebas. Hari mengundi PRK Bukit Gelugor dijadual berlangsung pada 25 Mei ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: