PETALING JAYA – PKR tidak teragak-agak memecat mana-mana ahlinya yang
melanggar disiplin dan melakukan kekerasan, kata Ketua Umum PKR, Datuk
Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, pimpinan PKR memandang serius insiden kekerasan dan gengsterisme yang berlaku dalam proses pemilihan terutama di Selangor.
Semalam lapan ahli PKR telah digantung keahliannya bagi membantu siasatan terhadap pemilihan PKR.
“Berdasarkan maklumat yang diterima serta bukti video dan foto, didapati terdapat elemen bukan ahli parti yang telah menceroboh pusat-pusat pengundian dengan niat memburukkan imej parti dan menggagalkan proses pengundian.
“Saya juga difahamkan ramai daripada elemen-elemen ini telah masuk PKR sejurus sebelum daftar pemilih ditutup dan disahkan, 15 Mac lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya telah mengarahkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan Lembaga Disiplin PKR menyiasat perkara berkenaan dengan lebih lanjut.
“Kami sepakat memberi sokongan kuat kepada JPP untuk memecat mana-mana anggota yang melanggar disiplin atau melakukan kekerasan.
“Kami tidak melindungi penjenayah, penipu dan yang melakukan kekerasan. Kita tak teragak-agak membatalkan mana-mana pemilihan sekiranya terbukti pelanggaran berlaku,” katanya.
Tegasnya, tindakan tegas mesti diambil bagi memastikan elemen-elemen negatif itu dibanteras.
“Tapi kalau kata kelemahan dalam proses, saya akui dan sebab itu kelemahan itu dikenal pasti dan cuba diperbaiki.
“Tindakan disiplin yang cukup keras mesti diambil bagi memastikan elemen-elemen ini dibanteras dan dibuang dari parti,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan