Rabu, 14 Mei 2014

PAS tetap desak sidang DUN Khas Terengganu untuk tentukan majoriti sebenar

OLEH MD IZWAN


PAS menggesa DUN Terengganu untuk mangadakan sidang khas berhubung sokongan kepada menteri besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman. – Gambar The Malaysian Insider.PAS menggesa DUN Terengganu untuk mangadakan sidang khas berhubung sokongan kepada menteri besar Datuk Ahmad Razif Abd Rahman. – Gambar The Malaysian Insider.


























PAS tetap mendesak supaya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Khas diadakan walaupun ketiga-tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno sudah mengumumkan menarik semula keputusan keluar parti.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata langkah tersebut bertujuan melihat sama ada menteri besar baru, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mendapat sokongan atau tidak.

"Dengan mengadakan Sidang DUN Khas ini kita akan dapat membuat pengesahan mengenai kedudukan serta sokongan mereka dan ia dapat menentukan kedudukan majoriti BN," kata beliau dipetik daripada Harakahdaily hari ini.

Semalam, PAS juga menggesa sidang DUN diadakan dengan membawa usul undi tidak percaya ke atas menteri besar itu.

Sekiranya majoriti menolak pelantikan Razif, satu pilihan raya negeri bakal diadakan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga mengeluarkan kenyataan sedang bersiap-sedia berdepan dengan segala kemungkinan susulan perkembangan di Terengganu.

Satiful berkata krisis yang berlaku di Terengganu menunjukkan Umno dan Barisan Nasional (BN) berpecah serta lemah.

"Ini krisis dalaman BN itu sendiri, pelantikan Menteri Besar itu menunjukkan perpecahan di dalam BN khususnya Umno itu sendiri," katanya.

Menurut Satiful, krisis tersebut akan memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk menawan semula negeri yang pernah mereka perintah pada 2004 dahulu.

"Krisis ini akan memberi keuntungan kepada Pakatan Rakyat untuk menghadapai Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali berkata PAS Pusat masih menunggu laporan daripada PAS Terengganu mengenai situasi terbaru itu.

"Sehingga hari ini kita belum menerima apa-apa laporan rasmi daripada PAS Terengganu. Apa-apa pandangan PAS negeri nanti perlu dikemukakan kepada PAS Pusat," kata Mustafa.

Krisis di Terengganu tercetus selepas bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengumumkan keluar parti bersama dua lagi Adun.

Situasi tersebut menyebabkan BN hilang majoriti dan menimbulkan kebimbangan Terengganu akan jatuh kepada pembangkang, PR.

Bagaimanapun, perkembangan terkini menyaksikan krisis tersebut berjaya diselesaikan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang mengadakan pertemuan dengan Razif bersama beberapa Adun lain.

Ahmad juga dalam sidang media sebentar tadi mengumumkan kembali ke pangkuan Umno bersama dua lagi Adun.

BN menguasai DUN dengan 17 kerusi, manakala Pakatan Rakyat memiliki 15 kerusi DUN, PAS 14 dan PKR 1.

Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris kini merupakan Menteri Pendidikan II dalam Kabinet Najib.

Tahun lalu, SPR berkata ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut mereka tidak boleh campur tangan di Terengganu jika berlaku keadaan DUN tergantung disebabkan BN menang tipis.

Menurut SPR, terpulang kepada parti politik untuk menyelesaikan masalah itu

Tiada ulasan: