MALAYSIAKINI
MP DAP Datuk Mohamad Ariff Sabri Abdul Aziz berkata golongan pemimpin
Umno tidak layak menggelarkan golongan Melayu yang menyertai DAP sebagai
pengkhianat.
Beliau memberi alasan, perbuatan pengkhianatan itu sendiri merupakan
tindakan yang sinonim dengan Umno, yang digelarkan sebagai "bapa
pengkhianat".
MP Raub itu berkata, golongan yang mengkritik DAP itu juga berfikiran
cetek apabila membangkitkan mengenai keanggotaan orang Melayu dalam
parti tersebut.
"Inilah
pemikiran orang Melayu peringkat kampung. Bila tiada Melayu dalam DAP,
dia kata DAP parti rasis. Tapi dia tidak beri Melayu masuk DAP.
"Bila Melayu masuk DAP, dia akan kata, Melayu itu perhiasan dan
pengkhianat bangsa," kata bekas ADUN Umno itu lagi dalam tulisan di blog
sakmongkol.blogspot.com.
Kenyataan itu timbul selepas ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat
Abdul Jalil dilaporkan memberi peringatan kepada calon DAP untuk pilihan
raya kecil Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud agar tidak
menjadi pengkhianat.
Seorang lagi pemimpin Wanita Umno, Jahara Hamid yang juga ketua pembangkang DUN Pulau Pinang mengumpamakan Dyana sebagai "kacang lupakan kulit".
Mengulas lanjut, Ariff Sabri bekata, keputusan DAP mencalonkan Dyana
Sofya itu bertujuan untuk meningkatkan keyakinan orang Melayu, sama
seperti strategi Umno.
"Hiasan atau tidak, memang objektif DAP ialah meningkatkan keyakinan
orang Melayu. Sama seperti Umno letak (calon dari) MCA, MIC dan Gerakan –
semua itu perhiasan untuk Umno untuk tujuan yang sama – memancing
pengundi bangsa bukan Melayu.
"Kenapa ianya boleh dilakukan oleh Umno tapi tidak boleh dilakukan oleh parti DAP? Ianya bukan suatu jenayah," katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan mengaitkan Umno dengan pengkhianatan,
beliau seterusnya membangkitkan isu tanah rizab Melayu, saham bumiputera
dan juga kenaikan tarif elektrik.
"Mengenai bab pengkhianat ini orang Umno memang cukup handal. Sebab
mereka pengkhianat bangsa Melayu yang paling besar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan