Rabu, 28 Mei 2014

Manifesto Mah Siew Keong tidak laku?

lks


Roketkini.com


TELUK INTAN – Manifesto calon Barisan Nasional (BN) di Teluk Intan Datuk Mah Siew Keong dilihat tidak mendapat sokongan BN sendiri apabila beberapa pemimpin tertinggi BN telah menaburkan janji-janji lain tanpa melibatkan beliau.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam kenyataannya mempersoalkan manifesto tersebut yang dibentangkan pagi semalam.

“Adakah manifesto yang dibentangkan Mah ini manifesto peribadi, manifesto Gerakan atau manifesto UMNO/Barisan Nasional?” soal Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah.

“Apakah beliau akan membawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ke Teluk Intan sebelum 31 Mei untuk mengumumkan manifesto tersebut adalah manifesto Barisan Nasional?”

Kit Siang turut meragui sama ada manifesto Mah itu akan ditepati oleh UMNO-BN dalam masa tiga ke empat tahun akan datang sebelum menjelang pilihanraya umum ke-14.

Sewaktu pelancaran manifestonya pagi semalam, Mah dilaporkan berkata bahawa beliau tidak boleh dipertanggungjawabkan terhadap janji-janji yang dibuat oleh para menteri BN sebelum ini, antaranya untuk memperbaiki perkhidmatan internet jalur lebar, memberi seragam percuma kepada anggota Rela dan membina dewan perkahwinan untuk masyarakat India.

Bagi Kit Siang, satu-satunya kesimpulan yang boleh dibuat daripada penafian Mah itu ialah bahawa beliau telah gagal untuk mendapatkan pengiktirafan para pemimpin Umno dan BN serta membuatkan mereka menghormati beliau sebagai Presiden Gerakan dalam pilihanraya kecil kali ini.

“Jika begini keadaannya, bagaimana beliau akan mendapat penghormatan dan pengiktirafan pemimpin Umno dan Barisan Nasional selepas pilihanraya jika beliau menang pada 31 Mei nanti?” soal Kit Siang.

Mah bakal berhadapan calon muda DAP Dyana Sofya dalam pertarungan bersejarah di Teluk Intan Sabtu ini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: