Sabtu, 3 Mei 2014

Kunci dalam tangan PAS

 Lim Hong Siang


bantuan dap pas perlis pix

Buku suntingan saya, Tsunami Cina bakal dilancarkan pada jam 8.30 malam, 5 Mei 2014. Dalam buku ini telah saya selitkan sebuah kisah bagaimana bilik gerakan cikgu Normala Sudirman disiapkan dalam masa tiga jam, sehingga cikgu Mala seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku ketika kunci bilik itu diserahkan kepadanya.

Ia bermula apabila cikgu Mala mengutip derma untuk kempennya di sebuah kedai kopi. Seorang peniaga Cina yang telah memasukkan wang derma, bagaimanapun merasakan cikgu Mala agak kesempitan dari segi sumber. DAP dan PKR telah memiliki bilik gerakan masing-masing di kawasan itu, tetapi PAS belum. Kebetulan beliau memiliki sebuah rumah kedai yang kosong di situ, namun disalut habuk kerana telah lama dibiarkan. Maka penduduk tempatan dikerah untuk bergotong-royong membersihkan bilik itu. Dalam tempoh tiga jam, bendera PAS dinaikkan di situ, menandakan penubuhan bilik gerakan pertama PAS di Kampung Abdullah, Segamat.

Demikianlah sentimen di kalangan komuniti Cina setahun yang lalu. Mereka mual dengan rasuah dan politik perkauman UMNO-BN, sungguhpun pada masa yang sama sebahagian besar daripada mereka masih ragu-ragu dengan agenda pelaksanaan Hukum Hudud oleh PAS. Tetapi mereka sanggup menyokong PAS – kerana mereka menghargai komitmen PAS bersama Pakatan Rakyat untuk membina satu sistem baru yang adil dan bersih. Apabila cikgu Mala sebagai calon Melayu-Islam bertanding menentang calon Gerakan, Cina-bukan muslim bernama Lau Chin Hoon di N3.Pemanis, komuniti Cina mengambil keputusan untuk menyebelahi cikgu Mala.

Ramai pengundi bukan Islam sedar, bahawa Malaysia berada di ambang untuk menumbangkan sebuah regim yang korup. Ketidakadilan, kezaliman dan keangkuhan kuasa UMNO-BN telah menjurus kepada jurang kaya-miskin yang melebar, pencabulan hak golongan minoriti – minoriti dalam erti kata bukan sahaja dari segi nisbah populasi, tetapi mereka yang miskin dan tidak berkuasa.

Ya, sememangnya kita gagal pada saat-saat bersejarah itu, lantaran sistem pilihan raya yang dimanipulasikan untuk memenangkan 47% dan menggagalkan 51%. Maknanya, perjuangan kita untuk menentang ketidakadilan UMNO-BN belum selesai. Dengan kata lain, kebobrokan institusi pilihan raya, keselamatan, mahkamah, pencegahan rasuah, media dan sebagainya masih belum diperbaiki, malah lebih parah keadaannya selepas PRU13. Integriti, kredibiliti, kebertanggungjawaban, pentadbiran yang baik, ketelusan, keadilan sejagat, kompetensi dan sebagainya gagal disuntik ke dalam sistem negara bagi mencapai kemaslahatan umum untuk semua rakyat.

Inilah hakikatnya. Syarat-syarat tersebut wajib wujud dalam sesebuah sistem untuk memastikan apapun dasar atau hukum yang dilaksanakan, berjalan dengan sebaik mungkin. Mustahil sesuatu hukum mencapai matlamatnya seandainya struktur asal sesuatu sistem itu bobrok pada tahap ketaranya. Bayangkan, kita mempunyai Hukum Hudud tetapi dengan Shafee Abdullah sebagai hakim – apakah yang akan terjadi?

Sebagai bukan muslim, secara jujur saya agak terkilan apabila seringkali dituduh bahawa kami tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud kerana “tidak faham”. Sememangnya pengetahuan kami cetek dalam bidang agama Islam, tetapi saya perlu mengingatkan bahawa masyarakat bukan muslim-Cina sebenarnya berusaha untuk memahami hukum Islam. Cuba buat tinjauan di pasaran, berapa buku bahasa Cina yang telah diterbitkan atas inisiatif komuniti bukan-muslim sendiri untuk memahami apa itu hukum Islam, atau agama Islam? Malah ada pengkaji akademik yang sanggup membuat tesis untuk mengkaji hukum dan sistem Islam.

Tepuk dada tanya selera, berapa orang ahli akademik muslim yang membuat tesis atau kajian ke atas agama lain, dan diterbitkan hasilnya untuk memahamkan masyarakat Islam tentang masyarakat bukan Islam? Malah, daripada menuduh bukan muslim tidak memahami Islam, apakah ada usaha yang bersungguh-sungguh daripada pihak muslim untuk memahami kekhuatiran komuniti bukan muslim, dan kemudian meleraikannya?

Jikalau jawapannya – apa perlunya muslim mengambil kira pandangan bukan muslim semata-mata melaksanakan satu hukum agamanya sendiri – maka itulah soalan dan bukan jawapan kepada isu ini.

Untuk sekian lama, bukan muslim Malaysia memahami Islam melalui pemerintahan UMNO. Apabila UMNO gagal memberi keadilan kepada semua, sebaliknya mendukung falsafah ISA (Ikut Suka Saya), maka wajah Islam terjejas dari mata bukan muslim.

Untuk saya, cabaran PAS pada saat-saat ini adalah untuk menghentikan segala ketidakadilan oleh UMNO, dan menampilkan keindahan wajah Islam yang sebenarnya. Indahnya Islam bukan terletak pada sejauh mana besarnya kuasa yang dipegang dalam tangan muslim, tetapi indahnya Islam terletak pada sejauh mana penguasa sanggup mendengar dan memahami luahan golongan minoriti yang tidak berkuasa.

Lebih-lebih lagi, PAS kini berada di gelanggang politik dengan slogan “PAS untuk SEMUA”. Mandat daripada golongan bukan muslim sebenarnya harapan dan kepercayaan yang diletakkan di atas bahu pemimpin PAS, sebagaimana kunci bilik gerakan diserahkan ke dalam tangan cikgu Mala.

Pengundi menerima bahawa setiap parti mempunyai matlamat yang berbeza, tetapi berpegang kepada muafakat bersama untuk menamatkan hayat regim zalim. Kini, dengan kezaliman dan ketidakadilan UMNO yang belum lagi dapat disekat, PAS pula kelihatan ghairah mengalu-alukan sokongan UMNO untuk menjayakan agenda dirinya.

Setahun tanggal 5 Mei 2013 berlalu. Saya tetap menyimpan kenangan manis bagaimana kita merempuh regim UMNO-BN dalam perhimpunan BERSIH, dari 1.0 hinggalah 3.0. Kerana penghargaan terhadap jalinan persaudaraan inilah, saya catatkan luahan yang paling ikhlas dari hati saya di sini. – Roketkini.com

Tiada ulasan: