Sabtu, 24 Mei 2014

Krisis Terengganu – sistem diketepikan, Umno-BN diberi kelebihan




Oleh Aziz Bari


Jika kita mampu membuat perbandingan di antara krisis politik di Terengganu baru-baru ini dengan perlawanan bolasepak, ia seperti masa permainan dilanjutkan bagi membolehkan pasukan pilihan menjaring gol kemenangan atau mungkin jaringan menyamakan kedudukan. Ini bukan kali pertama di mana Umno-BN diberi kelebihan oleh sistem yang ada, yang sewajarnya bersifat berkecuali. Sistem ini seharusnya dipimpin dasar demokrasi yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. 

Kita pernah saksikan situasi yang sama di Perak lima tahun lalu, apabila “parlimen tergantung” di sidang dewan undangan negeri apabila Umno-BN dan Pakatan Rakyat mempunyai jumlah kerusi yang sama. Sultan Perak tidak membubarkan parlimen seperti yang disuarakan Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin tetapi memilihkan untuk menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Zambry Kadir daripada Umno-BN.

Ada yang berpendapat, keputusan Sultan berdasarkan hujah perlembagaan namun sebenarnya terdapat beberapa lagi pilihan yang mampu dibuat. Pada tahun 1994, kita pernah melihat senario yang membabitkan kerajaan PBD Sabah yang diterajui Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan diasak berikutan kemasukan ramai ahli dewan undangan negeri ke dalam Umno-BN. Permohonan beliau agar sidang DUN dibubarkan telah ditolak Yang di-Pertua Negeri dan Joseph Pairin Kitingan terpaksa berundur selaku Ketua Menteri Sabah.

Umno-BN melalui media kawalannya, sentiasa cuba memastikan sistem menyebelahi mereka.
Selalunya ini dilakukan dengan membelakangi semangat demokrasi serta Perlembagaan. Apabila Pakatan Rakyat cuba menukar kakitangan di pentadbiran negeri Selangor, media menjelaskan peranan serta perkenan Sultan di dalam membuat keputusan tersebut. Bagaimanapun, Pakatan sebenarnya mempunyai sokongan dua pertiga majoriti. Sikap hipokrit Umno-BN jelas apabila perubahan kepimpinan kerajaan negeri di Sarawak muncul tidak lama selepas itu. Kuasa yang ada di tangan Sultan Selangor dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak sebenarnya sama: kedua-duanya perlu bersetuju dengan keputusan parti yang memegang majoriti.

Helah Umno-BN tidak hanya dimainkan melalui manipulasi media. Apabila terdesak, mereka semakin rakus. Pengalaman kita telah menunjukkan bahawa mereka turut melaksanakan perintah darurat apabila media dilihat tidak begitu berkesan. Inilah yang tercetus di Sarawak pada 1966 serta di Kelantan pada 1977. Pada ketika itu, kerajaan persekutuan – di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman (1966) dan Datuk Hussein Onn (1977) menggunakan perintah darurat bagi mengambilalih kepimpinan.

Di dalam kedua-dua krisis, kerajaan negeri enggan memberi kerjasama dan pihak istana mengambil keputusan yang sesuai dengan lunas-lunas demokrasi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Ketua Menteri Sarawak ketika itu disingkir, namun tidakan itu tidak sah mengikut keputusan mahkamah. Istana Kelantan pula menolak usul pembubaran yang dibuat Menteri Besar ketika itu yang telah ditolak oleh Sidang Dewan Undangan Negeri.

Sarawak dan Kelantan bagaimanapun jatuh ke tangan BN selepas pilihanraya negeri yang diadakan selepas darurat ditamatkan. Kelantan bagaimanapun kembali kepada pemerintahan PAS pada 1990 sementara Sarawak kekal di dalam cengkaman Umno-BN melalui PBB dan sekutunya.

Berbalik kepada krisis di Terengganu, tiada siapa – kecuali penyokong tegar Umno-BN – yang menjangka kerajaan ini dapat bertahan. Pertama, ia lebih rumit berbanding keadaan di Perak pada 2009. Pada satu ketika, kerajaan negeri Terengganu ini tidak sah. Selepas Datuk Ahmad Razif mengangkat sumpah selaku Menteri Besar di depan Sultan pada 12 Mei – berikutan perletakan jawatan Datuk Seri Ahmad Said sejam sebelumnya – beberapa siri perletakan jawatan berlaku.

Ahmad Said yang marah meletak jawatan selaku ahli Umno dan langkah beliau diikuti dua penyokong setianya. Pengunduran diri mereka mengurangkan kekuatan Umno kepada hanya 14 Ahli Dewan Undangan Negeri, termasuk menteri besar baharu. Pakatan pula mempunyai 15 ADUN.

Mengikut perlembagaan, Ahmad Razif perlu meletak jawatan bagi keseluruhan pentadbirannya atau Sultan mampu menyingkir beliau. Secara alternatif, rakyat mampu menuntut mahkamah agar pentadbiran Ahmad Razif dibubarkan. Bagaimanapun, semua itu tidak berlaku. Sebaliknya, kerajaan Umno-BN bertegas sementara penasihat undang-undang negeri Datuk Azhar Abdul Hamid membuat kenyataan bahawa kerajaan akan bertahan kerana ia mempunyai 15 ADUN. Ini berikutan perlantikan ahli yang juga memegang jawatan Speaker. Ketua polis negeri pula memastikan keadaan kekal aman sementara Umno-BN berusaha memujuk Ahmad dan penyokongnya kembali ke pangkuan Umno. Ini berjaya dilakukan dalam tempoh 48 jam kemudian.

Dr Abdul Aziz Bari merupakan bekas profesor undang-undang UIAM yang kini bersyarah di Unisel. Beliau juga Felo Kanan di badan pemikir bebas IDEAS dan Institut Pulau Pinang.
- See more at: http://bm.theantdaily.com

Tiada ulasan: