Sabtu, 17 Mei 2014

Kempen bikini burukkan Dyana hanya politik murahan, kata ahli politik, penganalisis

OLEH EILEEN NG


 Walaupun Dyana Sofya Mohd Daud belum diumumkan secara rasmi sebagai calon Pilihan Raya Kecil Teluk Intan, beliau sudah menjadi mangsa kempen memburuk-burukkannya. – Gambar Facebook, 17 Mei, 2014. Walaupun Dyana Sofya Mohd Daud belum diumumkan secara rasmi sebagai calon Pilihan Raya Kecil Teluk Intan, beliau sudah menjadi mangsa kempen memburuk-burukkannya. – Gambar Facebook,


Namanya masih belum disahkan secara rasmi sebagai calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan pada 31 Mei ini, tetapi Dyana Sofya Mohd Daud sudah menjadi mangsa kempen berniat jahat yang mencemarkan dirinya, termasuk gambar beliau berbikini.

Sebelum namanya diumumkan sebagai calon DAP yang berpotensi dalam PRK di Teluk Intan sekali pun, Dyana sudah menjadi mangsa kempen memburuk-burukkannya.

Setiausaha politik kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berusia 27 tahun itu diserang berasaskan kepada kaum dan kepercayaan agamanya – seorang Melayu Islam yang bertanding untuk kerusi dalam kawasan yang kebanyakannya adalah Cina.

Baru-baru ini, beberapa blog menyiarkan gambar seorang wanita memakai bikini warna merah jambu, dan menyatakan ia adalah Dyana dan mempersoalkan sikapnya sebagai seorang Islam.

Selepas gambar itu tersebar luas di Internet, ada pengguna media sosial berkata gambar itu bukan Dyana, tetapi pelakon Filipina, Pauleen Luna.

Bercakap mengenai perkara itu, Dyana terkejut dengan gelombang serangan yang diterimanya, susulan khabar angin mengenai pencalonannya dalam PRK itu.

“Butir peribadi saya disalah guna. Dan sekarang, untuk lebih mencemarkan imej saya, nampaknya ada gambar yang kononnya saya memakai bikini.

“Walaupun saya fikir pelakon Filipina itu sangat menarik, saya rasa kejadian ini benar-benar menunjukkan tahap politik murahan yang pihak lawan sanggup buat, terutama sekali terhadap wanita.

“Sila bertindak seperti orang dewasalah,” kata Dyana dalam suratnya kepada The Malaysian Insider, sambil menambah episod kejadian itu menyedarkannya masyarakat Malaysia adalah pembenci wanita.

Beberapa pemimpin DAP dan penganalisis politik turut bercakap mengenai serangan itu dan membuat spekulasi mereka yang bertanggungjawab terhadap penyiaran gambar itu ialah cybertrooper Barisan Nasional (BN).

Mereka berkata, pihak di luar sana yang mengkritik Dyana tidak dapat memahami hakikat seorang Melayu mahu bersekutu dengan parti pembangkang yang majoriti ahlinya adalah Cina seperti DAP.

“Selama ini mereka beritahu orang Melayu, DAP adalah parti Cina. Mereka melakukan perkara ini untuk memberitahu komuniti mereka yang menyertai parti itu bukan Melayu ‘tulen’ kerana Melayu tulen tidak memakai bikini atau pakaian terdedah,” kata penganalisis politik dari Universiti Monash Malaysia, Profesor James Chin (gambar).

Penganalisis politik, Oh Ei Sun juga percaya serangan terhadap Dyana adalah kerana politik.

“Terlalu kebetulan, khabar angin itu berlaku ketika beliau dilihat sebagai calon berpotensi, baru-baru ini. Pesaingnya sudah tentu cuba menunjukkan beliau sebagai seorang Melayu yang tidak baik, yang sepatutnya pada pendapat mereka berpakaian secara konservatif,” kata penganalisis dari Fakulti Pengajian Antarabangsa S Rajaratnam, Singapura.

Menggambarkan keseluruhan episod itu sebagai “politik murahan”, ketua sayap Pemuda DAP, Teo Kok Seong berkata, mereka mungkin terancam dengan jumlah calon parti yang ramai, dan mampu memberi saingan kepada BN.

Bagaimanapun, Teo memberi amaran tindakan sedemikian tidak akan memberi kebaikan kepada BN terutama berkaitan imej dan peluang parti itu dalam PRK yang akan datang ini.

BN akan mencuba nasib mencari kemenangan di Teluk Intan menerusi Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.

Mah menang kerusi itu pada pilihan raya umum 1999 dan 2004 tetapi tewas kepada calon DAP, M Manogaran dan Seah Leong Peng pada 2008 dan 2013 dengan masing-masing 1,470 dan 7,313 undi majoriti.

Kematian Seah akibat penyakit barah pada 1 Mei lalu menyebabkan PRK itu perlu diadakan.

Setiausaha Wanita DAP, Teo Nie Ching (gambar) berkata, ahli politik wanita nampak seperti sasaran yang mudah, dan menggesa ahli politik daripada kedua-dua pihak tidak melakukan tindakan tidak sihat.

“Mereka mensasarkan wanita untuk merendahkan maruah kami. Ini bukan jenis politik yang kita hendak lihat di Malaysia,” katanya.

Teo berkata, Naib Presiden DAP, Teresa Kok sering berdepan dengan insiden seumpama itu.

Beliau turut mengecam mereka yang cuba mencemarkan nama baik Dyana dan berkata insiden itu tidak akan menghentikan wanita daripada menyertai politik.

Setiausaha Agung Gerakan, Liang Teck Meng, semalam mengutuk tindakan itu dan berkata perbuatan itu biadap dan menghina wanita negara ini.

“Saya terkejut apabila mengetahui gambar seperti itu tersebar luas di Internet dalam usaha mencemarkan reputasi beliau. Pada pendapat saya, tindakan itu bukan saja biadap tetapi juga menghina wanita di Malaysia,” katanya.

Dyana berkata, beliau tahu akibat yang perlu dihadapinya apabila menyertai DAP.

“Sudah tentu ada kesannya menyertai DAP. Saya serta merta diperhati dan dibelasah. Cerita palsu direka. Kenyataan saya diputar belit. Saya dilabel pengkhianat. Saya digelar banyak nama lain,” katanya.

Tetapi katanya, semua itu mengukuhkan kepercayaannya bahawa beliau “berada di pihak yang benar dalam sejarah”.

“Ibu saya dan mentor saya banyak mengajar saya. Mereka sudah beri amaran kepada saya, hari-hari yang mencabar seperti ini pasti akan berlaku.

“Jadi kepada pengkritik saya, saya ingin mengulangi lagu Katy Perry. Anda akan mendengar saya...mengaum!” katanya, meminjam ayat daripada lagu terbaru penyanyi pop terkenal itu bertajuk “Roar”

Tiada ulasan: